KUCHING: Tiga kolaborasi bersama antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan akan terjalin bagi memastikan semua guru SeDidik memiliki sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang 2025.
Bagi memastikan sasaran tercapai, SeDidik menjalinkan kerjasama bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej SIDMA Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sasaran tersebut bertujuan melahirkan para pendidik berkualiti, signifikan dari aspek penyampaian perkhidmatan program SeDidik sentiasa terbaik dan memuaskan.
“Pendidikan awal bukan sahaja sekadar persediaan kanak-kanak sebelum ke alam persekolahan formal malah ia memberi tumpuan kepada perkembangan holistik untuk memenuhi keperluan sosial, emosi, kognitif dan fizikal kanak-kanak untuk membina asas yang kukuh.
“Pendidikan Awal Kanak-kanak juga adalah salah satu pelaburan terbaik yang boleh kita lakukan untuk membina modal insan berilmu, berakhlak baik dan mempunyai jati diri yang tinggi,” katanya ketika sidang media Mesyuarat Majlis Pembangunan Kanak-Kanak di bilik Media KPWK di sini, hari ini.
Tambah Fatimah, berdasarkan statistik pada tahun 2022, Sarawak telah mencatatkan 98.92 peratus penyertaan kanak-kanak Tahun 1 dalam prasekolah atau tadika.
Sehubungan itu, beliau berharap agar segala program pendidikan dan pembangunan awal kanak-kanak yang telah dirancang pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama dan kolaborasi rakan-rakan strategik, agensi-agensi kerajaan mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan secara amnya dan khasnya ahli-ahli Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak.
Oleh NICKELYSON LAKUN