KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo yang membawa muatan batu kerikil pada jarak lebih kurang 2.1 batu nautika tenggara Tanjung Po petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kapal kargo itu dikesan pada 4.30 petang ketika rondaan pasukan maritim.
”Pada 4.30 petang semalam (22 Mei), aset ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi pemantauan berdekatan perairan tersebut telah mengesan sebuah kapal kargo dengan muatan batu kerikil yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jarak lebih kurang 1.1 batu nautika dari aset Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati kapal kargo berkenaan dikendalikan oleh tujuh kru termasuk nakhoda, dua warga tempatan, empat warganegara India dan seorang warganegara Myanmar.
Kesemua individu yang ditahan adalah berumur dalam lingkungan 19 hingga 53 tahun.
”Kesemua mereka mempunyai pengenalan diri ketika diperiksa. Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal mempamerkan dokumen Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah ketika diperiksa,” katanya.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 yang beroperasi 24 jam.
Oleh RYNNA SHA’ERRA