Helikopter bawa lima penumpang terhempas berdekatan landasan Long Lellang

Facebook
WhatsApp
HELIKOPTER ‘flying doctor’ terhempas berhampiran STOLport, 5 dalam pesawat. - Foto tular FB

KUCHING: Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Pendek (STOLport) Long Lellang, kira-kira 929 kilometer di utara Kuching, hari ini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang mengendalikan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) dengan membawa lima individu termasuk juruterbang.

Bagaimanapun, CAAM tidak menyatakan sama ada terdapat mangsa yang terkorban atau cedera dalam kejadian berkenaan.

“Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian ini mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” menurut kenyataan itu.- Bernama