KUALA LUMPUR: Sebanyak 473 prospek penjara (banduan) menyertai program latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor pembinaan sejak 2024 hingga Jun tahun ini, sebagai persediaan sebelum kembali ke dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jumlah itu merangkumi 184 prospek pada 2024, meningkat kepada 234 pada 2025, manakala 55 lagi menyertai program itu sehingga Jun 2026.
Beliau berkata program latihan TVET di penjara merupakan langkah strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meningkatkan kebolehpasaran dan memperkukuh pemulihan prospek yang berada di peringkat akhir pemenjaraan.
“Pelaksanaan latihan ini disokong oleh tiga badan pensijilan utama iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia; Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Sijil Modular menerusi kerjasama industri.
“Khusus bagi sektor pembinaan, latihan melalui pensijilan CIDB merangkumi kursus seperti kimpalan, elektrik, mobile crane operation (pengendalian kren), plaster dan sebagainya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai pertimbangan kerajaan untuk melaksanakan program TVET atau latihan pekerjaan dalam sektor pembinaan kepada banduan yang berada di peringkat akhir pemenjaraan, khususnya melalui kerjasama strategik dengan syarikat swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Shamsul Anuar berkata sebanyak 33 institusi di bawah Jabatan Penjara kini diiktiraf sebagai Pusat Vokasional Industri (PVI) manakala lebih 430 syarikat swasta serta GLC telah menjalinkan kerjasama, antaranya SWCorp, Micro Driving Academy, Lotus dan Shopee.
Menjawab soalan tambahan Salehuddin mengenai keberkesanan program itu, beliau berkata rekod menunjukkan hampir 100 peratus banduan yang tamat latihan TVET memperoleh pekerjaan sebaik sahaja dibebaskan.
“Mengikut rekod yang kita ada, hampir 100 peratus banduan yang layak dibebaskan dan sempurna mengikuti latihan TVET direkodkan mendapat tawaran pekerjaan sebaik sahaja mereka dibebaskan.
“Banyak rekod menunjukkan mereka dilatih oleh syarikat dan terus bekerja dengan syarikat berkenaan sebaik keluar dari penjara. Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan Jabatan Penjara dalam memperkasakan program ini,” katanya. – Bernama



