• Angkat reka bentuk produk kreatif tempatan tembusi pasaran antarabangsa
KUCHING: Sudah tiba masanya Sarawak memulakan dan memberi tumpuan kepada reka bentuk produk kreatif tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, Minggu Reka Bentuk (SDW) Sarawak yang bertemakan ‘Design For Tomorrow’ itu juga dianjurkan tepat pada masanya bagi menyemai dan mempromosikan kepentingan reka bentuk untuk perniagaan dan pemerkasaan kreativiti dalam masyarakat.
“Acara ini sememangnya merupakan platform strategik untuk golongan pereka dan pengeluar tempatan membina serta meningkatkan imej produk Sarawak melalui reka bentuk kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Reka Bentuk Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK)di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Awang Tengah juga menegaskan kepelbagaian budaya di Sarawak mampu memberi manfaat kepada aspek reka bentuk kreatif di Sarawak.
“Penganjuran Minggu Reka Bentuk (SDW) Sarawak yang pertama kali dianjurkan itu mampu menyemarakkan aspirasi kerja-kerja kreatif dan rentuk bentuk dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap Pusat Reka Bentuk Sarawak (Saradec) dapat mencapai sasarannya untuk melahirkan 100 pereka perabot menjelang 2030.
Beliau berkata Saradec, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak(PUSAKA) ditubuhkan pada 2021 sejajar dengan penubuhan Kursi Pusaka di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 2016.
Kursi Pusaka berhasrat untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk kayu bernilai tambah tinggi, khususnya perabot, dan memilih graduan muda Unimas untuk dilatih sebagai pereka dan penyelidik profesional dalam bidang yang sama.
“Program ini (SayD’SignersSarawak) telah menghasilkan ratusan rekaan kreatif oleh pereka muda, bersama dengan banyak prototaip. Hari ini, pada acara ini (Sarawak Design Week), prototaip ini dipamerkan untuk pengunjung dan pelawat untuk melihat sendiri hasil karya mereka.
“Saya berharap pereka muda akan mengambil peluang ini untuk meluaskan rangkaian dan berbincang dengan pereka terkenal dan mapan yang hadir dan dijemput oleh Saradec untuk bercakap dan berkongsi pengalaman mereka.
“Saya amat berbesar hati dengan pencapaian program ini dan berharap ia mampu melahirkan 100 pereka perabot yang disasarkan menjelang 2030,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat & Mohd Neenatul Aizal