SIBU: Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, semalam melawat mangsa kebakaran Rumah Paulus Yan, Nanga Bawan yang ditempatkan sementara di Dewan Datuk Aaron, Jalan Nibong-Tada.
Pengerusinya, Chambai Lindong berkata, lawatan itu adalah untuk memberikan sokongan moral kepada mangsa, yang mana sumbangan berupa makanan dan pakaian telah disalurkan oleh SDNU Sibu kepada penduduk rumah panjang terbabit.
“Kebakaran yang berlaku begitu pantas dan mengejutkan, memusnahkan rumah panjang mereka dalam sekelip mata, bersama segala barang berharga dan dokumen penting yang tidak dapat diselamatkan.
“Keadaan ini telah menyebabkan mereka, baik yang tua mahupun yang muda, termasuk kanak-kanak sekolah, berada dalam keadaan terkejut dan masih sukar menerima kenyataan bahawa rumah yang mereka bina selama bertahun-tahun telah musnah dalam sekelip mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, SDNU Sibu berasa amat terharu melihat semangat dan ketabahan mangsa-mangsa yang tetap menunjukkan kekuatan untuk meneruskan hidup dalam keadaan yang serba kekurangan itu.
“Kami berharap sumbangan kecil ini, bersama bantuan daripada orang ramai, dapat sedikit meringankan beban mereka dalam tempoh yang amat mencabar ini,” katanya.
Beliau berkata, sokongan berterusan daripada orang ramai serta pihak berkenaan amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka dalam hari-hari mendatang.
Katanya, sumbangan daripada orang ramai dan badan-badan bukan kerajaan dijangka akan memainkan peranan penting dalam membantu mangsa-mangsa kebakaran ini untuk memulihkan kehidupan mereka, membina semula rumah-rumah yang musnah dan mengembalikan kebahagiaan mereka yang telah hilang.
Sehingga kini, Jabatan Kebajikan telah menyediakan khemah-khemah sementara bagi menempatkan penduduk yang terjejas, di samping memberikan makanan harian untuk keperluan mereka.
Dalam kejadian berlaku pada 15 Januari lalu, rumah panjang 15 pintu ranap mengakibatkan penduduknya kehilangan tempat tinggal dan harta benda.