SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) boleh membentuk entiti berasingan untuk menjalankan aktiviti perniagaan demi kelangsungannya.
Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, ini bagi membolehkan organisasi itu terus bertahan selain bergantung kepada geran terus daripada kerajaan sepanjang masa.
Menurutnya, organisasi itu boleh melaksanakannya dalam bentuk usaha sama perniagaan atau kerjasama.
“SDNU bukan organisasi perniagaan, tetapi tiada undang-undang di dalamnya yang melarang organisasi ini daripada menubuhkan entiti perniagaan berasingan.
“Jadi, kita boleh membentuk entiti di luarnya, hab perniagaan kita. Ini boleh berniaga, boleh bekerjasama, boleh usaha sama.
“Kita boleh membentuk entiti yang berasingan dan orang ramai memahami kita. Kita perlu bertahan, selain bergantung kepada geran terus daripada kerajaan sepanjang masa.
“Ini, saya rasa satu-satunya cara yang akan mengekalkan organisasi masyarakat kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Emas SDNU Sibu, malam tadi.
Mawan yang juga Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) berkata, entiti perniagaan yang dicadangkan di peringkat cawangan ini, mungkin boleh menerokai penggunaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Seperti yang saya katakan dari awal lagi, untuk mana-mana organisasi masyarakat, dengan program sosial, budaya dan ekonomi mereka, untuk didorong ke hadapan, untuk dibawa ke hadapan, anda memerlukan sokongan dan pemahaman kerajaan.
“Dan dalam konteks itu, anda mesti bertahan dengan kerjasama, dengan bantuan, anda tidak boleh melawan. Anda menjalankan aktiviti anda di sisi kerajaan.
“Walaupun kita bukan parti politik, kita mesti tahu mana bahagian roti dan menteganya. Itu pemahaman saya, itu peringatan saya kepada semua ahli kita. Dan yang anda lihat di mana-mana, semakin banyak cawangan yang ditubuhkan.
“Mereka mempunyai pemahaman itu. Tidak mungkin, anda boleh bertahan, jika anda mempunyai konfrontasi semacam itu atau apa-apa yang bertentangan dengan kehendak dan pemahaman kerajaan pada masa itu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Pengerusi SDNU Sibu, Chambai Lindong, mengupas latar belakang SDNU dan memberi penghormatan kepada pemimpin terdahulunya.
Beliau juga berkata, ketika ini SDNU Sibu mempunyai 4,329 ahli.
Pada majlis sama, Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Dato Sri Tiong King Sing, menjanjikan peruntukan sebanyak RM20,000, melalui wakilnya Agatha Ting, ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh (RM10,000), Mawan (RM10,000), ADUN Krian Friday Belik (RM10,000), ADUN Meluan Rolland Duat Jubin (RM10,000), Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh (RM5,000) dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas (RM50,000).
Turut hadir, Presiden Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Dato Alice Jawan Empaling, bekas ADUN Tamin Datuk Joseph Mauh serta yang lain.
Oleh Akun Giman