KUCHING: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak diingatkan supaya terus memelihara integriti dan maruah pasukan serta tidak menyalahgunakan amanah yang diberikan ketika menjalankan tugas.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kuasa yang diberikan kepada anggota polis melalui undang-undang merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Jangan sesekali kita bersekongkol dengan penjenayah dan jangan gadaikan maruah diri, keluarga dan pasukan demi habuan sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi September 2026 di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Mohamad Zainal berkata, warga PDRM Sarawak juga perlu meningkatkan keupayaan menangani jenayah digital dan siber yang sentiasa berubah.
Menurutnya, pegawai dan anggota perlu memperbaharui ilmu serta kemahiran teknologi bagi memahami bukti dan modus operandi jenayah.

“Pendirian PDRM terhadap jenayah terancang tetap sama iaitu tiada toleransi terhadap jenayah sindiket dan keganasan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pegawai penyiasat supaya menjalankan siasatan dengan teliti dan profesional serta memastikan setiap kertas siasatan lengkap dan tindakan susulan dirancang.
Katanya, anggota di lapangan pula perlu mengutamakan keselamatan ketika menjalankan tugas, manakala keberanian perlu disokong latihan, disiplin dan pertimbangan yang baik.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal meminta warga PDRM Sarawak mendekati masyarakat dengan memberikan perkhidmatan yang konsisten, adil dan berhemah.
“Dalam masyarakat Sarawak yang berbilang bangsa, kita mesti berlaku adil kepada semua,” katanya.
Beliau turut mengingatkan barisan kepimpinan supaya memberi perhatian kepada disiplin dan kebajikan anggota, selain tidak mengukur kejayaan hanya berdasarkan angka operasi atau statistik.
Mohamad Zainal berkata, beliau akan meninggalkan Kontinjen Sarawak selepas kira-kira setahun memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi meneruskan tugas sebagai Pengarah Pengurusan PDRM di Bukit Aman.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM Sarawak atas kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya di negeri ini.
Oleh Shikin Mahmud





