Akses jalan kebun pemangkin pertanian Pakan, 1,168 pekebun terima bantuan baja

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN… Tan Sri William Mawan bergambar bersama penerima bantuan baja. Foto Pusat Khidmat DUN Pakan

PAKAN: Pembukaan lebih banyak jalan kebun dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian di Daerah Pakan, khususnya dalam membolehkan tanah terbiar dimanfaatkan untuk aktiviti ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, penyediaan infrastruktur pertanian yang baik menjadi antara keutamaan dalam usaha memperkukuh sektor tersebut di kawasan berkenaan.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, kemudahan jalan kebun bukan sahaja memudahkan petani keluar masuk ke kawasan pertanian, malah membuka peluang kepada penduduk untuk mengusahakan tanah yang sebelum ini sukar diakses.

“Antara perkara yang kita utamakan dalam pembangunan pertanian di Pakan ialah pembukaan jalan kebun. 

“Dengan adanya akses yang lebih baik, tanah-tanah yang sebelum ini terbiar boleh dimanfaatkan dan diusahakan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Baja Program Bantuan Baja Kepada Pekebun Kecil Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) 2026 Daerah Pakan di Pejabat Pertanian Daerah Pakan, semalam.

“Kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan golongan petani menerusi penyediaan pelbagai bentuk bantuan termasuk input pertanian, baja serta khidmat bimbingan dan nasihat teknikal.

“Sokongan berterusan tersebut penting bagi membantu pekebun kecil mengurangkan beban kos pengeluaran, di samping memastikan kebun mereka dapat diurus dengan lebih teratur dan produktif,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa masyarakat supaya tidak membiarkan tanah yang dimiliki terbiar, sebaliknya mengusahakannya dengan tanaman yang mempunyai nilai ekonomi mengikut kesesuaian kawasan dan kemampuan masing-masing.

“Tanah yang ada jangan dibiarkan terbiar. Kita perlu manfaatkan tanah tersebut dengan mengusahakan tanaman yang boleh memberikan hasil. 

“Tanam untuk dijual dan seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya lagi.

Beliau berkata tanaman seperti kelapa sawit, lada, getah serta sayur-sayuran mempunyai potensi untuk dikembangkan, khususnya sekiranya diusahakan secara terancang dengan penggunaan teknik pertanian yang sesuai.

Selain itu, Mawan turut menggalakkan petani mengadaptasi teknologi dan kaedah pertanian moden bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan pengurusan serta kualiti hasil.

Katanya, sektor pertanian perlu bergerak seiring perkembangan teknologi supaya aktiviti pertanian bukan sahaja mampu memenuhi keperluan sara diri, malah berkembang sebagai sumber pendapatan yang lebih mampan kepada masyarakat luar bandar.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Pakan, Raymond Jally Lambang berkata seramai 1,168 pekebun kecil kelapa sawit dan lada di daerah tersebut menerima manfaat Program BBKSL 2026 yang dilaksanakan secara berfasa.

Jelasnya, bantuan baja tersebut dapat membantu penerima mengurangkan sebahagian kos input pertanian serta membolehkan mereka memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengurusan dan produktiviti kebun masing-masing.

Pelaksanaan BBKSL 2026 turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperkukuh sektor pertanian luar bandar melalui penyediaan input, kemudahan dan sokongan teknikal kepada pekebun kecil bagi membantu meningkatkan hasil serta pendapatan mereka.

Turut hadir, Pegawai Pertanian (Pembangunan) Bahagian Sarikei, Siti Khadijah Ibrahim.

Oleh Earl Anek