SANTUBONG: Harga tiket masuk Kampung Budaya Sarawak (SCV) baharu serendah RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak ditawarkan untuk rakyat Sarawak.
Menurut Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Abdul Aziz Husain harga berkenaan dipetik dari pakej pertama iaitu ‘Cuti Berami-Rami’ khusus untuk rakyat negeri ini sahaja.
“Sebelum ini, harga masing-masing ditawarkan pada harga RM30 dan RM20. Oleh itu, terdapat potongan besar antara 33 peratus hingga 50 peratus untuk rakyat tempatan kita,” katanya.
Abdul Aziz berkata demikian ketika berucap di acara pembukaan semula SCV Sabtu lalu.
Selain pakej itu, tawaran harga itu, juga meliputi empat pakej harga baharu iaitu harga pelajar khas merangkumi RM5 untuk pelajar lawatan sekolah rendah dan menengah tempatan dan RM15 untuk pelajar universiti swasta dan awam.
“Orang bukan Sarawak juga boleh melihat harga Cuti Cuti Malaysia di mana bayaran masuk adalah RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun,” ujarnya.
Tambah Abdul Aziz SCV juga menawarkan ‘Family Together Gether Package’ di mana yurannya bernilai RM180 untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak atau RM210 untuk dua orang dewasa dan tiga kanak-kanak.
Sementara itu, katanya ‘Family Berami Package’ adalah untuk semua rakyat Sarawak dan keluarga mereka yang berharga hanya RM60 untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak untuk masuk ke SCV, pertunjukan budaya dan pelajaran tarian atau muzik percuma.
“Pilihan lain adalah bayaran RM123.60 untuk keluarga dua orang dewasa dan dua kanak-kanak yang merangkumi masuk ke SCV, pertunjukan budaya, makan tengah hari dan pelajaran tarian atau muzik percuma semasa lawatan mereka ke sini,” jelasnya.
Katanya lagi semua harga dan pakej khas ini merangkumi enam peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan berkuat kuasa mulai 1 Julai dan akan berakhir pada 31 Disember 2020.
Sementara itu acara pembukaan semula SCV telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan persekutuan Datuk Seri Nancy Shukri.
Pada sebelah malam Nancy diringi Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut menyertai acara Makan Malam ‘Bonfire Dinner’ di Damai Beach Resort sekaligus menyempurnakan perasmian lokasi makan malam itu.
Oleh Diyana Samsuddin