
KUCHING: Program Konvensyen Inovasi dan Kejuruteraan Komuniti Sarawak (SCIENCE) 8 anjuran Sarawak Energy terus memperkasa generasi muda Sarawak dengan pendedahan kepada teknologi automotif dan kecerdasan buatan (AI), selaras dengan keperluan industri masa depan.
Program yang berlangsung di Plaza Merdeka pada Sabtu dan Ahad lalu itu menghimpunkan 192 peserta dari pelbagai komuniti di seluruh Sarawak, meliputi kawasan dari Serian hingga Baram.
Buat pertama kalinya, pelajar dari Baram turut menyertai program tersebut, sekali gus menandakan perluasan capaian SCIENCE kepada komuniti luar bandar dan pedalaman di negeri ini.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Marconi Madai berkata, SCIENCE bukan sekadar program STEM, malah menjadi platform untuk menggalakkan golongan muda meneroka teknologi baharu, berfikir secara kreatif dan menghasilkan penyelesaian praktikal kepada cabaran dunia sebenar.
“Melalui pendedahan kepada kecerdasan buatan, sistem autonomi, robotik dan teknologi kenderaan elektrik, pelajar dapat membangunkan kemahiran teknikal, kreativiti, kebolehsuaian serta pemikiran kritis yang semakin penting dalam industri moden,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, program tersebut turut melengkapkan pembelajaran di bilik darjah menerusi pengalaman praktikal dalam inovasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah, selain membantu meningkatkan keyakinan pelajar untuk mengaplikasikan teknologi dalam kehidupan sebenar.
SCIENCE 8 turut mencatat penyertaan wanita tertinggi sejak diperkenalkan pada 2018 apabila 122 peserta atau 63 peratus daripada keseluruhan peserta terdiri daripada pelajar perempuan.
Lebih 50 pasukan daripada 10 komuniti STEM seluruh Sarawak mengambil bahagian dalam cabaran inovasi berkaitan teknologi automotif dan AI.
Pelajar sekolah rendah menyertai Cabaran Kenderaan Rover Autonomi, manakala pelajar sekolah menengah menyertai Cabaran Papan Pemuka Kenderaan Elektrik (EV) Pintar dengan membangunkan sistem kenderaan yang mempunyai fungsi pemantauan kelajuan, penjejakan RPM, lampu isyarat serta integrasi penderia undur.

SCIENCE merupakan program utama Sarawak Energy di bawah inisiatif Minda Muda Berdaya (Powering Young Minds) yang dilaksanakan menerusi teras tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pendidikan dan Belia.
Program tersebut dianjurkan oleh Lengkung Pembelajaran (The Learning Curve) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menerusi inisiatif Pembelajaran Inovatif Komuniti TEGAS (TCIL), serta mendapat sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.
Sejak diperkenalkan pada 2018, SCIENCE telah mengetengahkan pelbagai bidang termasuk robotik, Internet Benda (IoT), pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui, kelestarian, penderiaan jauh, kuasa hidro dan penyelesaian ekonomi kitaran berasaskan AI.
Oleh Shikin Mahmud