
KUCHING: Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) menyuarakan kebimbangan serius terhadap cadangan pemotongan sebanyak RM3.06 bilion daripada perbelanjaan operasi Kementerian Kesihatan (KKM) kerana dikhuatiri memberi kesan kepada rawatan pesakit kanser dan sistem kesihatan awam negara.
Menurut SCAN, Malaysia merekodkan sebanyak 168,823 kes baharu kanser bagi tempoh 2017 hingga 2021 dengan risiko seumur hidup menghidap kanser kini berada pada kadar satu daripada lapan rakyat Malaysia.
Presidennya, Emmy Marina Marzuki berkata, walaupun pihaknya memahami cabaran fiskal global yang dihadapi kerajaan, pemotongan dalam skala besar boleh menjejaskan asas utama penjagaan kesihatan khususnya ketika permintaan terhadap perkhidmatan onkologi terus meningkat.
Beliau berkata, dana operasi kesihatan bukan sekadar melibatkan pentadbiran, malah turut merangkumi aspek klinikal, logistik dan rawatan yang menyelamatkan nyawa pesakit.
“Sebarang kekurangan dana boleh menyebabkan gangguan bekalan ubat kanser penting dan terapi sasaran yang mana kelewatan rawatan berkait secara langsung dengan kadar kelangsungan hidup pesakit,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut kenyataan itu, lebih 74 peratus pesakit kanser kolorektal dan lebih 94 peratus pesakit kanser paru-paru di Malaysia dikesan pada tahap tiga dan empat, sekali gus menjadikan sebarang gangguan rawatan amat kritikal.
SCAN turut melahirkan kebimbangan terhadap arahan penangguhan pengambilan penjawat awam baharu kecuali bagi jawatan kritikal kerana jabatan onkologi di hospital awam kini sudah berdepan kekurangan tenaga kerja dan peningkatan beban kes.
Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan tempoh menunggu lebih lama untuk pemeriksaan diagnostik dan pembedahan yang akhirnya memberi kesan terhadap peluang rawatan pesakit.
Dalam pada itu, SCAN berkata penyelenggaraan peralatan radioterapi dan kemoterapi juga bergantung kepada peruntukan operasi dan sebarang kekangan kewangan boleh memberi kesan besar khususnya kepada pesakit di Sarawak yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan pakar.
Sehubungan dengan itu, SCAN menggesa Kementerian Kewangan dan KKM memastikan semakan belanjawan yang dijadualkan sebelum 15 Mei ini mengecualikan perolehan ubat penting serta penyelenggaraan peralatan perubatan kritikal daripada sebarang pemotongan.
Persatuan itu turut meminta pengecualian jelas diberikan bagi pengambilan kakitangan perubatan khusus selain memastikan kemudahan kesihatan di Sabah dan Sarawak tidak terjejas secara tidak seimbang susulan kos logistik yang lebih tinggi dan kapasiti operasi yang lebih terhad.