Scaloni sanjung Messi sebagai legenda menjelang final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
JURULATIH Argentina, Lionel Scaloni, bercakap kepada media pada sidang akhbar menjelang perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 sempena Fanatics Fest di Pusat Javits, New York pada 17 Julai 2026. Foto AFP

NEW YORK: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menggesa penyokong menghargai peluang menyaksikan Lionel Messi mengetuai pasukan dalam satu lagi final Piala Dunia pada usia 39 tahun ketika juara bertahan itu memburu kejuaraan berturut-turut menentang Sepanyol, 3.00 pagi Isnin ini (waktu Malaysia).

“Beliau telah mencipta sejarah. Beliau ialah seorang legenda,” kata Scaloni mengenai bekas pemain Barcelona itu yang telah membantu Argentina memenangi Piala Dunia serta dua gelaran Copa America berturut-turut dalam tempoh lima tahun lalu.

Karier antarabangsa Messi menikmati kebangkitan luar biasa pada penghujung kariernya. Sedekad lalu, beliau pernah mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan Argentina pada usia 29 tahun selepas tewas kepada Chile dalam final Copa America, kekalahan keempatnya dalam aksi final bersama negaranya.

Messi dan Scaloni berpelukan di atas padang sejurus tamat kemenangan 2-1 ke atas England pada separuh akhir Rabu lalu, dengan kapten Argentina itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai “sejarah yang luar biasa”.

“Ia membuatkan saya berasa bangga kerana beliau ialah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak,” kata Scaloni mengenai Messi yang telah menjaringkan lapan gol pada Piala Dunia kali ini, edisi keenam yang disertainya, selain menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu dengan 21 gol.

“Untuk beliau berjaya mara ke final pada tahap seperti ini ketika berusia 39 tahun, saya fikir ia sesuatu yang luar biasa.

JURULATIH Argentina, Lionel Scaloni. Foto AFP

“Itulah sebabnya saya katakan kita perlu menghargai peluang menyaksikannya bermain kerana lihat sahaja apa yang berlaku dengan Diego (Maradona) dan bagaimana kita akhirnya begitu merinduinya.

“Kita masih mempunyai Leo dan kita harus menghargainya. Beliau ialah tokoh bersejarah dan legenda, begitu juga semua pemain yang telah menghadiahkan detik-detik indah kepada kami sepanjang beberapa tahun ini.”

Argentina menamatkan kemarau 28 tahun tanpa kejuaraan utama antarabangsa apabila menjuarai Copa America pada 2021, sekali gus mencetuskan era kegemilangan pasukan itu.

“Mereka telah mencapai sesuatu yang beberapa tahun lalu dianggap mustahil. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini dan terus bersaing pada tahap tertinggi selama bertahun-tahun,” katanya menjelang final Ahad di Stadium MetLife, berhampiran New York.

“Kami mungkin menang dan saya berharap kami akan menang, tetapi apa pun keputusannya, perjalanan sehingga ke tahap ini sudah cukup luar biasa.”

Scaloni berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada perlawanan itu pasti menjadi penampilan terakhir Messi di Piala Dunia, namun mengakui peluang pemain itu untuk terus beraksi sehingga edisi 2030 amat tipis.

Argentina perlu menewaskan juara Eropah, Sepanyol, jika mahu menjadi negara pertama dalam tempoh 64 tahun mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.

“Mereka ialah sebuah pasukan yang hebat. Segala-galanya mengenai mereka membimbangkan saya,” kata Scaloni. — AFP