EAST RUTHERFORD, New Jersey: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni meminta para pemain dan penyokongnya tidak melupakan perjalanan mereka di Piala Dunia 2026 walaupun tewas 0-1 kepada Sepanyol pada perlawanan akhir, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Argentina berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka empat tahun lepas, namun gol masa tambahan daripada pemain gantian, Ferran Torres mengesahkan kejuaraan Piala Dunia lelaki yang kedua buat Sepanyol pada Ahad.
Kad kuning kedua yang diterima Enzo Fernandez pada masa kecederaan memaksa Argentina beraksi dalam tempoh 30 minit masa tambahan dengan hanya 10 pemain.

“Kami bertanggungjawab atas keputusan ini, tetapi itu tidak bermakna kami harus melupakan apa yang telah kami lakukan untuk sampai ke tahap ini,” kata Scaloni selepas pasukannya gagal menyamai rekod Brazil (1958, 1962) dan Itali (1934, 1938) untuk mempertahankan trofi berkenaan.
Kami perlu memberitahu negara bahawa kami telah memberikan segalanya, ini adalah contoh terbaik untuk rakyat dan negara kami. Apabila kalah, itulah hakikatnya,” katanya lagi.
Semasa sidang media berkenaan, beliau tidak dapat menahan sebak lalu mengalirkan air mata sehingga memaksa sidang media itu ditamatkan lebih awal.
“Ia amat menyakitkan, saya minta maaf,” katanya sambil menangis sebelum bergegas meninggalkan pentas.
Beliau menerima tepukan sokongan daripada wartawan Argentina yang hadir.
Sebelum detik emosi itu, Scaloni ditanya mengenai masa depan Lionel Messi dan berkata beliau masih belum berbincang dengan pemain berkenaan.
Scaloni mengambil alih tugas mengemudi Argentina pada 2018, membimbing mereka meraih kejuaraan dunia pada 2022 serta menjuarai Copa America pada 2021 dan 2024.
Masa depannya selepas Piala Dunia masih belum pasti, namun sebelum kejohanan bermula, laporan media menyebut bahawa beliau mempunyai persetujuan lisan untuk kekal mengendalikan pasukan sehingga 2031.
“Rasa terhutang budi dan penghargaan tertinggi buat semua pemain ini yang telah berjuang hingga ke saat akhir. Saya akan sentiasa mengingati apa yang mereka lakukan untuk melangkah sejauh ini. Ia amat bermakna. Kami hebat ketika menang mahupun tewas, dan kami menunjukkan bahawa kami tahu bagaimana untuk menerima kekalahan,” katanya.
Argentina memerlukan beberapa gol saat akhir untuk mara ke perlawanan akhir, dan persembahan mereka pada aksi kemuncak itu dikritik meluas oleh pakar analisis kerana dianggap terlalu bertahan selepas gagal mencatatkan sebarang cubaan tepat ke sasaran sepanjang 120 minit permainan. – Bernama




