MIRI: Festival Seni dan Sastera Kanak-Kanak Sarawak (SCALF) 2026 bakal kembali berlangsung di Pustaka Miri pada 1 hingga 2 Ogos ini dengan pelbagai aktiviti berteraskan literasi, kreativiti, seni dan inovasi untuk kanak-kanak.
Pustaka Miri menerusi satu kenyataan berkata, festival yang bertemakan ‘Membaca, Bermain, Meneroka’ itu menghimpunkan kanak-kanak, keluarga, pendidik, penggiat seni, penulis dan rakan komuniti dalam usaha memupuk budaya membaca serta pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut kenyataan itu, SCALF 2026 bertujuan menyemai minat membaca, mempromosikan kesusasteraan, memelihara warisan budaya Sarawak, serta menyediakan ruang kepada generasi muda untuk mengembangkan kreativiti menerusi pelbagai aktiviti pendidikan, bengkel dan seni.
Katanya, sebanyak 12 reruai akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif, termasuk pertandingan bercerita, bengkel batik, demonstrasi dan bengkel percetakan 3D, pertandingan tarian etnik kreatif, pertandingan nyanyian lagu tradisional, sesi membaca bersama keluarga, bengkel penyediaan makanan tradisional, bengkel penulisan, aktiviti sensori, pertandingan permainan telefon mudah alih, pameran kesihatan serta ruang jualan yang menampilkan usahawan tempatan dan gerai makanan.
Sebagai persediaan menjelang festival utama, program jelajah Bejalai Storyteller akan diadakan pada 29 dan 30 Julai di beberapa sekolah rendah dan tadika terpilih di kawasan Marudi bagi menyemarakkan minat membaca serta menggalakkan penyertaan murid dalam festival tersebut.
Antara institusi yang terlibat ialah Tadika KEMAS Poyut, Tadika KEMAS Kampung Pemindahan A dan B, Tadika KEMAS Kampung Narum, Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Gudang, SK Poyut, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sungai Jaong, SK Dato Sharif Hamid dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Marudi.
Majlis pelancaran rasmi SCALF 2026 dijadualkan berlangsung pada 2 Ogos ini di Auditorium Pustaka Miri dan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.
Festival itu dianjurkan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik, termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Pejabat Pendidikan Daerah Baram, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Menurut kenyataan itu lagi, penganjuran SCALF 2026 mencerminkan komitmen Pustaka Negeri Sarawak dalam mewujudkan ekosistem pembelajaran yang inklusif dengan menggabungkan elemen literasi, seni, budaya dan inovasi. Usaha itu bertujuan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk membaca, berimaginasi, berkarya dan terus berkembang sebagai pembelajar sepanjang hayat.
Festival berkenaan dibuka kepada orang ramai dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang sepanjang dua hari penganjurannya.
Oleh Liong Chai Ling




