KUALA LUMPUR: Kakitangan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan sekutunya menyumbang sebanyak RM120,000 daripada duit mereka sendiri untuk membantu menyediakan ventilator, peralatan perubatan dan bantuan untuk petugas barisan hadapan dan komuniti terkesan akibat wabak Covid-19.
Menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Malaysia, Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata duit itu disalurkan kepada Tabung Bantuan Covid-19 MERCY Malaysia untuk menyediakan 600 set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Besar Kota Bharu, Hospital Teluk Intan dan Hospital Ipoh, serta barang keperluan. kepada lebih 150 keluarga daripada komuniti terkesan di Kelantan.
Katanya, duit itu juga disalurkan kepada Pusat Perubatan UniversitI Malaya untuk pembelian dua ventilator untuk merawat pesakit yang mengalami masalah pernafasan, dan kepada ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk membekalkan topeng muka, air mineral dan makanan ringan untuk lebih daripada 1,000 pegawai polis yang bertugas untuk memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hari ini, kita menghadapi cabaran melibatkan kemanusiaan, ekonomi dan kewangan secara serentak, peristiwa bersejarah, yang menguji kemampuan dan sumber kita yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Oleh itu, saya bangga kerana rakan-rakan sekerja saya memilih untuk memberikan sumbangan duit peribadi mereka untuk tujuan mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Syed Zaid berkata SC akan terus mengemudi pasaran modal dengan teratur dan untuk menyokong peserta pasaran.
“Namun, peperangan yang lebih besar dan penting ketika ini adalah melawan pandemik tersebut yang diketuai petugas barisan hadapan yang bekerja keras dan di bawah tekanan setiap hari bagi memastikan rakyat Malaysia selamat.
“Kami memuji komitmen mereka dan mengucapkan terima kasih atas dedikasi mereka untuk tujuan tersebut,” katanya- Bernama