KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Rabu, disokong penyusutan harga minyak mentah Brent serta perkembangan berkaitan geopolitik.
Pada 8.00 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0680/0765 berbanding dolar AS daripada 4.0730/0775 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah semasa memberi sokongan kepada pasaran pertukaran asing, dengan minyak mentah Brent berada di bawah AS$100 setong iaitu pada AS$99.25.
“Pertemuan antara pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Iran semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu disifatkan sebagai ‘sangat baik’ oleh Presiden AS Donald Trump, sekali gus meningkatkan harapan terhadap kemajuan ke arah perjanjian damai, walaupun perkembangannya masih tidak menentu.
“Pada masa sama, tiada petunjuk jelas daripada pegawai Rizab Persekutuan AS mengenai hala tuju dasar monetari,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata berdasarkan kontrak niaga hadapan Dana Fed, kebarangkalian kenaikan kadar faedah pada Oktober dan Disember adalah melebihi 50 peratus, menunjukkan pasaran menjangkakan dua lagi kenaikan kadar tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam julat yang kecil hari ini.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6566/6664 daripada 4.6705/6757 ketika ditutup pada Selasa, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4275/4389 daripada 5.4452/4512 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.5830/5886 daripada 2.5958/5988 sebelumnya.
Mata wang tempatan itu juga kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1901/1970 daripada 3.1955/1993 ketika ditutup pada Selasa dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2826/3142 daripada 12.2847/3035.
Mata wang tempatan itu turut meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 227.4/228.0 daripada 227.7/228.0, bagaimanapun, susut sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.48/6.50 daripada 6.49/6.50. – Bernama




