SERIAN: Tiada parti politik yang mengutamakan dan menjamin kesejahteraan rakyat di negeri ini selain Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata calon kerusinParlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem.
“Saya tidak mahu parti asing mewakili kampung halaman saya. Kami mahu bersatu supaya hak kami akan direalisasikan. Ini tanah kami,” katanya berucap pada majlis pelancaran Jentera GPS P.199 Serian di Kampung Pichin di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), GPS mencatat banyak kejayaan di peringkat Parlimen khususnya dalam usaha mengembalikan hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Jadi, jika kita boleh bersatu untuk memenangi semua 31 kerusi kali ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada yang hadir turut menegaskan bahawa GPS adalah tonggak kestabilan politik Kerajaan Persekutuan.
Justeru, katanya, adalah penting untuk memastikan GPS dipandang tinggi dan diberi penghormatan untuk menjadi sebahagian parti pemerintah di negara ini.
Oleh itu, beliau menggesa supaya sokongan padu diberikan kepada calon GPS dengan harapan pemimpin GPS di peringkat Parlimen dapat meneruskan perjuangan untuk kepentingan rakyat Sarawak.
“Sejak kerajaan baharu negara mengambil alih kuasa pada 2018 dan tiga perdana menteri berbeza dipilih, kita telah mengalami kesan (negatif) yang ketara.
“Mereka membuat banyak janji tetapi akhirnya banyak projek di negeri ini dibatalkan.
“Perkara ini secara tidak langsungnya menyebabkan kepercayaan pelabur asing terhakis di peringkat nasional dan peluang pekerjaan juga terjejas jika mereka tidak melabur di sini.
“Oleh itu, adalah penting untuk kita memastikan kerajaan yang stabil dapat diwujudkan,” katanya.
Menjangkakan Richard Riot akan menang besar di Serian, Dr Simon bersama ADUN Bukit Semuja, John Ilus dan ADUN Kedup, Martin Ben, memastikan matlamat itu tercapai.
“Lebih banyak lagi akan dicapai jika GPS sentiasa menang.
“Kestabilan kami akan wujud apabila kami lebih kuat dan semua rancangan kerajaan boleh dilaksanakan dengan jayanya apabila keadaan semasa stabil.
“Kami mengharapkannya daripada kerajaan akan datang, dan GPS mesti memainkan peranan dalam perkara itu,” kata Martin Ben yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah.
Oleh NICKELYSON LAKUN