AZREEN KERIA
KUCHING: Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar petang tadi membuat penjelasan mengenai pengundurannya dan isu pengganti yang bukan pilihannya.
Katanya, beliau mengundur diri secara sukarela dan sudah memaklumkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kira-kira tiga bulan lalu.
Malah beliau akur keputusan pucuk pimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk memilih Dato Sri Nancy Shukri sebagai penggantinya bagi kerusi Parlimen Santubong.
Sebelum ini, Wan Junaidi mencadangkan Setiausaha Politiknya, Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie sebagai penganti untuk dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Santubong.
“Ya…saya ada orang tertentu yang saya latih untuk menjadi seperti saya ‘as good as me’ (sebaik saya)
“Tetapi pada akhirnya, parti yang harus membuat keputusan. Apabila parti tidak pakai (calon) pilihan saya, saya tak boleh mengadu.
“Sekiranya sudah diputus oleh parti calon yang akan bertanding, tiada hak untuk mengatakan tidak,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) petang ini.
Wan Junaidi tidak berkecil hati dan akan membantu untuk kemenangan Nancy di Santubong.
Malah beliau berjanji untuk turut hadir mengiringi Nancy ke pusat penamaan calon esok.
“Saya akan bantu beliau (Nancy) untuk kawasan Parlimen Santubong.
“Kita akan bantu dia dan yang paling penting ialah untuk menang, bukan sahaja menang tetapi menang dengan cemerlang,” katanya.