KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi khabar duka mengenai pemergian abang kandungnya Idrus Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan beliau menerima khabar meruntun jiwa itu ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air dari lawatan kerja tiga hari di China.
“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada. Hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini.
“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” kata beliau.
Perdana Menteri turut mendoakan agar roh Allahyarham diampuni segala khilafnya, dilimpahi rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Beliau juga memohon orang ramai dan rakan agar dapat menitipkan doa serta bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham.
“Terima kasih atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati kami,” kata beliau. – Bernama




