KUCHING: “Saya ibaratkan diri balik kampung”.
Itu kata calon kerusi Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri setelah berpindah dari kerusi Parlimen Batang Sadong.
Beliau berkata, Santubong adalah ibarat kembali ke tempat asalnya tetapi mengakui berdepan cabaran di kawasan yang diwakili Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini.
“Antara cabaran terbesar untuk bertanding di Santubong adalah berhadapan pengundi baharu yang sedikit sebanyak memberi impak kepada kemenangan sesebuah parti.
“Saya turut berhadapan dengan cabaran ‘kasut besar’ kerana penyandang di Parlimen ini telah memberi perkhidmatan yang begitu cemerlang sekali kepada masyarakat di kawasan Santubong.
“Maka ia menjadi satu panduan bagi saya untuk terus menggalas tugas ini. Tiada yang mudah bagi setiap pilihan raya itu terutama sekali pada kali ini kita ada ramai pengundi baru kerana kalau dulu ia tidaklah begitu besar.
“Seperti di Santubong, kini mempunyai lebih 79,000 pemilih berdaftar termasuk pengundi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi Parlimen Santubong di Dewan Sri Melati IKM Kuching, hari ini.
Berdasarkan prestasi Pilihan Raya Negeri lalu, kata Nancy, GPS telah berjaya membuktikan kejayaan besar dengan menang 76 daripada 82 kerusi yang ditandingi.
Menurutnya, perkara itu tidak mustahil untuk dicapai sekali lagi bagi merealisasikan misi menang semua 31 kerusi.
“Saya berterima kasih kepada penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi kerana banyak menyumbang kepada pembangunan di kawasan Santubong serta negara.
“Saya berharap agar sokongan yang pernah diberikan kepada Datuk Wan Junaidi sebelum ini dapat juga diberikan kepada saya untuk terus memastikan kawasan ini kekal sebagai kubu kuat GPS,” katanya.
Selain itu, antara perkara yang ditekankan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu, ialah aspek pelancongan di kawasan itu yang dilihat mempunyai tarikan tersendiri.
“Parlimen Santubong memilik potensinya tersendiri namun masih memerlukan peningkatan dari segi pembangunan untuk sektor pelancongan atau dengan erti kata lain ia merupakan kawasan ‘Toursim Belt’.
“Saya harap selepas ini saya bawa lebih banyak pembangunan dari segi pelancongan, budaya dan seni di kawasan Parlimen ini,” katanya.
Nancy dicabar calon Bebas, Affendi Jeman dan calon parti AMANAH, Mohamad Zen Peli.