LONDON: Ayam tambatan Liverpool, Cody Gakpo memacu kemenangan ke atas Ipswich Town apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu terus mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan kemenangan 4-1 di Anfield.
Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu menyaksikan skuad The Reds mengumpul 53 mata, enam mata di depan Arsenal yang berada di tangga kedua selepas turut mencatatkan kemenangan dengan menumbangkan Wolverhampton Wanderers 1-0 di tempat lawan.
Jelas Gakpo, dia sangat gembira dapat membantu pasukannya meraih kemenangan dan akui dirinya berada pada prestasi terbaik.
“Saya sangat suka menjaringkan gol di sini, tetapi yang paling penting adalah kemenangan hari ini. Semua orang tahu kualiti dia (Alexander-Arnold yang melorongkan bola kepadanya), saya hanya memastikan saya tiba tepat pada masanya di dalam kotak penalti.
“Kami kekal fokus. Kami berada di padang latihan setiap hari untuk terus memperbaiki diri. Perjalanan masih jauh. Langkah demi Langkah,” katanya.
Dalam aksi itu, Dominik Szoboszlai membuka tirai jaringan pada minit ke-11 apabila Ibrahima Konate menghantar bola kepadanya di ruang kosong di luar kotak penalti.
Pemain tengah Hungary itu memotong masuk dengan kaki kiri sebelum melepaskan rembatan ke sudut kanan bawah gol.
Mohamed Salah menggandakan kedudukan Liverpool pada minit ke-35 selepas hantaran lintang Gakpo.
Penyerang Mesir itu menyudahkan peluang dengan rembatan ke bahagian atas jaring dari sudut yang sangat sempit.
Liverpool melangkah ke bilik persalinan dengan kelebihan 3-0 selepas rembatan pertama Szoboszlai ditepis penjaga gol Ipswich, tetapi bola jatuh tepat ke kaki Gakpo yang menyempurnakan peluang dari jarak dekat pada minit ke-44.
Gol keempat Liverpool hadir pada minit ke-66 apabila hantaran cemerlang dari sebelah kanan oleh Trent Alexander-Arnold disambut dengan tandukan tinggi oleh Gakpo.
Pasukan mendapat gol saguhati pada minit ke-90 apabila pertahanan Ipswich, Jacob Greaves, menanduk masuk bola untuk menafikan Liverpool daripada mencatatkan kemenangan tanpa bolos.
Dalam perkembangan sama, pengurus Liverpool, Arne Slot akui berpuas hati dengan persembahan pasukannya sepanjang aksi itu.
“Sudah beberapa kali apabila beraksi di tempat sendiri kadang-kala kami melepaskan gol awal. Namun dalam aksi ini, ia sebaliknya berlaku dan inilah aksi yang saya mahukan,” kata Slot.