KUCHING: Pertandingan Karaoke Eden Idol 2024 bagi kategori peserta berumur 50 tahun ke atas telah memulakan pusingan saringan di Eden Garden, si sini malam tadi dengan 17 peserta bersaing untuk merebut tempat ke peringkat akhir pada 31 Disember nanti.
Menurut pemilik Eden Garden, Habibah Mohodin, kategori ini diwujudkan bagi memberikan peluang kepada peserta veteran untuk menunjukkan bakat mereka tanpa perlu bersaing dengan peserta yang lebih muda.
“Untuk kategori 50 tahun ke atas, kita akan memilih 10 peserta terbaik untuk mara ke final. Kategori ini memberikan ruang kepada peserta yang lebih berusia untuk menonjolkan kemampuan mereka tanpa perlu melawan peserta muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum bermula peringkat saringan Eden Idol di Eden Garden, di sini, malam tadi.
Habibah turut menjelaskan bahawa kategori bagi peserta berumur 18 hingga 50 tahun pula akan berlangsung pada malam ini dengan penyertaan yang lebih terhad berbanding jangkaan awal.
“Kita terima sambutan kurang memberangsangkan untuk kategori ini kerana banyak pertandingan karaoke lain sedang berlangsung di food court lain. Namun, secara keseluruhan kita masih menerima 25 penyertaan,” tambahnya.
Bagi kategori 50 tahun ke atas, pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM200, diikuti RM150 untuk tempat kedua dan RM100 untuk tempat ketiga.
Selain itu, pemenang juga akan menerima trofi dan hamper berupa barangan elektrik. Yuran penyertaan untuk pertandingan ini adalah RM25.
Habibah turut memaklumkan bahawa pertandingan karaoke ini adalah kali kedua dianjurkan oleh Eden Garden selepas edisi pertama yang dikhususkan untuk pesara Telekom Malaysia dua bulan lalu.
“Bagi tahun hadapan, kami bercadang untuk menganjurkan pertandingan kategori duet pula selepas Hari Raya. Penyertaan akan dibuka kepada semua,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT