
KUCHING: Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) 2026 disifatkan sebagai satu penegasan jelas terhadap hala tuju Sarawak sebagai negeri yang berwawasan, berdikari dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, konvensyen berkenaan bukan sekadar pembentangan dasar, sebaliknya memperlihatkan arah tuju pembangunan negeri yang lebih progresif dan terancang.
“Konvensyen hari ini memberikan gambaran yang sangat jelas tentang hala tuju kita. Sarawak tidak menunggu perubahan global berlaku, sebaliknya sedang mendahului dan mempersiapkan diri lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan dalam mendepani perubahan pesat teknologi, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
“Landskap pekerjaan sedang berubah dengan pantas. Justeru, usaha peningkatan kemahiran dan latihan semulasecara berterusan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik komitmen Sarawak terhadap tenaga boleh diperbaharui dan peralihan hijau yang dilihat mampu memperkukuh kedudukan negeri di peringkat serantau.
“Dengan sasaran 60 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 serta fokus kepada hidrogen hijau dan teknologi pengurusan karbon, Sarawak sedang berada di landasan untuk muncul sebagai peneraju tenaga bersih di ASEAN,” ujarnya.
Beliau turut menyokong pelaksanaan Pelan Gas Sarawak serta pembangunan industri bersepadu di seluruh negeri yang disifatkan penting bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Menurutnya, pendekatan pembangunan yang dilaksanakan turut memastikan manfaat sampai kepada semua kawasan termasuk luar bandar dan pedalaman menerusi agensi pembangunan wilayah serta hab strategik.
Dari sudut infrastruktur, beliau berkata usaha ke arah pendigitalan perkhidmatan kerajaan, pembangunan jaringan jalan raya menyeluruh serta liputan utiliti asas membuktikan pembangunan Sarawak bersifat inklusif dan berpaksikan rakyat.

Dalam aspek politik dan kepimpinan pula, beliau menegaskan kepentingan kestabilan serta perpaduan dalam mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, Sarawak memerlukan kepimpinan yang stabil, dasar yang jelas serta perpaduan berterusan. Pada masa yang sama, kita mesti tegas mempertahankan hak dan autonomi Sarawak seperti termaktub dalam MA63,” katanya.
Mengulas keseluruhan konvensyen, beliau menyifatkannya sebagai platform yang berteraskan tindakan dan pelaksanaan nyata.
“Sarawak bukan sekadar merancang masa depan, tetapi sedang melaksanakannya secara berperingkat dengan perancangan yang jelas dan hasil yang boleh dilihat,” katanya.
Beliau menambah, cabaran global sememangnya wujud, namun respons Sarawak adalah jelas dan berteraskan tindakan tempatan serta kekuatan jangka panjang.