
KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen menegaskan kepentingan kewujudan pembangkang yang berwibawa dan konstruktif di peringkat negeri serta Persekutuan bagi memastikan wujudnya semak dan imbang, selain meningkatkan prestasi kerajaan.
Beliau berkata, Sarawak tidak seharusnya berada dalam keadaan tanpa pembangkang, tanpa semak dan imbang serta tanpa akauntabiliti kerana situasi sedemikian boleh menjejaskan proses demokrasi.
Mengimbas kembali sejarah, beliau berkata pernah wujud tempoh tanpa pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang menyaksikan pelbagai dakwaan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pembaziran sumber, amalan tidak adil serta penindasan berlaku secara berleluasa.
“Pada ketika itu, banyak undang-undang yang merugikan Sarawak diluluskan tanpa penelitian sewajarnya, sama ada oleh rakyat mahupun di DUN,” katanya.
Beliau menegaskan Sarawak tidak boleh kembali ke era di mana kerajaan mempunyai kuasa tanpa batasan dan tanpa akauntabiliti, walaupun mengakui terdapat peningkatan dari segi prestasi kerajaan serta pelaksanaan dasar yang baik pada masa ini.
Menurutnya, keperluan terhadap pembangkang yang kuat menjadi semakin penting, khususnya apabila Sarawak menerima lebih banyak sumber daripada Kerajaan Persekutuan serta hasil cukai daripada sektor minyak dan gas.
“Adalah penting semua dana tambahan ini diteliti dengan rapi bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dan bukan hanya memperkayakan segelintir golongan elit,” katanya.
Tambah beliau, tekanan berterusan perlu diberikan kepada kerajaan bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan, sama ada baik atau sebaliknya, dapat dilaksana dengan berkesan, menepati masa dan benar-benar sampai kepada rakyat.
Menurutnya, prinsip tersebut sentiasa dipegang oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yang telah menjadi pembangkang selama 48 tahun walaupun berdepan pelbagai tekanan politik.
Beliau menegaskan komitmen parti itu untuk terus bersuara bagi pihak rakyat dan memastikan kerajaan sentiasa bertanggungjawab demi kepentingan Sarawak.
Oleh Connie Chieng