KUCHING: Unit Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) bakal ditubuhkan bagi memberi fokus kepada pembangunan dan persiapan rapi untuk atlet para di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, individu yang akan diberi tanggungjawab dalam unit tersebut perlu proaktif dalam mencari bakat-bakat baharu untuk dibangunkan sebagai atlet yang mewakili Sarawak.
“Kita sedar bahawa pesaing terdekat kita sangat aktif dalam mencari bakat-bakat baharu. Jadi, kita tidak boleh ketinggalan.
“Kita perlu proaktif dan bekerjasama dengan pelbagai institusi serta jabatan tertentu untuk pengesanan bakat dan pembangunan atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak Sempena Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah menjelaskan bahawa dengan penubuhan unit tersebut, ia akan memastikan jurulatih menjalani kursus sains sukan yang telah dikemas kini.
“Unit ini juga akan melanjutkan program pendedahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk atlet para serta jurulatih,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fatimah yang juga Pengerusi Sukan Olimpik Khas Negeri Sarawak mendedahkan bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi Olimpik Khas Negeri pada tahun depan.
Katanya, Jawatankuasa Olimpik Khas Malaysia menawarkan Sarawak untuk menganjurkan acara sukan tersebut, berdasarkan pengalaman Sarawak sebagai tuan rumah Para SUKMA yang lepas.
“Berdasarkan pengalaman menjadi tuan rumah Para SUKMA ke-21, kita perlu melakukan penambahbaikan, terutamanya dalam aspek perkampungan sukan dan venue pertandingan yang melibatkan bangunan.
“Banyak perkara lain yang perlu kita beri perhatian supaya ia mesra OKU,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal