KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi kerjasama bersama Sirim Berhad menubuhkan Makmal Pengujian Dapur Gas Domestik baharu di Kompleks Sirim Berhad Sarawak di sini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, ia bagi meningkatkan tahap keselamatan peralatan dapur gas domestik di negeri ini.
“Penubuhan makmal ini bertujuan untuk membantu merancakkan pembangunan industri gas ke arah isu kepenggunaan iaitu keselamatan pengguna.
“Makmal baharu ini membuktikan kerajaan Sarawak amat memandang serius terhadap keselamatan penggunaan peralatan dapur gas domestik di negeri ini,”katanya.
Beliau berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis perasmian makmal Gas Domestik Sirim Berhad Negeri Sarawak dan majlis pertukaran dokumen persefahaman Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama Sirim Berhad dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Hotel Imperial, di sini hari ini.
Beliau menggesa penggiat industri khususnya pengimport barangan dapur gas domestik agar melaksanakan pengujian ke atas produk mereka yang kini boleh dilaksanakan di Kuching tanpa perlu menghantar ke Semenanjung.
“Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Sirim banyak membantu industri tempatan di negeri ini dalam melaksanakan ‘conformity assessment’ iaitu pengujian terhadap peralatan elektrik pengguna.
“Pembangunan makmal ini dapat memastikan setiap peralatan diuji dan dinilai Sirim Qas antarabangsa selamat sebelum dipasar dan digunakan oleh rakyat Sarawak.
“Malah usaha dan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Sirim Berhad dilihat mengukuhkan aspirasi serta agenda pembangunan oleh kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan kesinambungan ke arah pembangunan sama, Jabatan Premier Sarawak kini dalam proses melaksanakan ABMS ISO 37001 sebagai komitmen membudayakan nilai intergriti, prinsip tadbir urus terbaik di samping usaha pihaknya menangani gejala rasuah.
“Saya berharap agar MUT, Sirim dan SEDC akan terus bekerjasama memberi nilai tambah untuk memastikan penggiat industri dapat berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Keberadaan Sirim di Sarawak juga diharap dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri dan penggiat industri mahu pun usahawan kerana saya percaya kredibiliti Sirim memacu industri ke arah yang lebih baik,” katanya.
oleh AZREEN KERIA