KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 tahun depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak menerima tawaran daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjadi penganjur sukan berprestij itu memandangkan negeri Johor serta negeri lain telah menyatakan ketidaksanggupan mereka.
“Kita terima tawaran ini (penganjur SUKMA ke-21). Bagaimana pun, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan tarikh kerana banyak fasiliti sukan di negeri ini perlu dinaiktaraf. Antaranya ialah stadium, padang bola sepak dan padang tenis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Insentif SUKMA XX MSN 2022, Sukan SEA 2021, Hanoi Vietnam, Sukan Komanwel 2022 Birmingham England dan Para Asean 2022 di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Kerajaan Sarawak telah menyerahkan sebanyak RM510,250 sebagai insentif kemenangan SUKMA XX KL 2022, Sukan SEA 2021 Hanoi Vietnam (RM68, 000), Sukan Komanwel 2022 Birmingham (RM23, 000) dan Para Asean 2022 (RM109,000).
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah bertemu dengannya untuk berbincang mengenai perkara ini.
“Beliau (Hannah) berkata negeri lain tidak sanggup untuk menjadi tuan rumah. Saya sarankan kepada kepada beliau agar penganjuran sukan ini tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur tetapi boleh juga diadakan di Sabah dan Sarawak. Untuk tahun hadapan (2024), Sarawak bersedia untuk menjadi tuan rumah,” katanya lagi.
Katanya lagi, beliau mahu menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang menitikberatkan aspek sukan.
“Saya mahu bangunkan anak muda kita tidak hanya di peringkat negeri tetapi hingga peringkat antarabangsa seperti Ratu Terjun Negara, Datuk Pandelela Rinong dan Bonnie Bunyau Gustin,” katanya.
Selain itu, Abang Johari juga mahu mencontohi negara New Zealand dalam membangunkan sukan dan atlet mereka.
“Sekiranya Sarawak menjadi tuan rumah, saya juga mahu sukan yang tidak dipertandingkan dalam SUKMA ke-20 akan dipertandingkan dalam SUKMA ke-21.
“SUKMA mesti ada standard. Kalau banyak acara dibatalkan, kita tidak tahu tahap seseorang atlet. Sukan seluruh negara sepatutnya mempunyai modul tersendiri,” katanya.
Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA adalah pada 2016.
Oleh NUR AIN OTSMAN