FI: Dua pelumba Ferrari dikenakan penalti di Brazil

Facebook
WhatsApp
PENALTI GRID... Dua pelumba Ferrari, Lewis Hamilton (kiri) dan Charles Leclerc, masing-masing dikenakan penalti turun 10 petak di grid permulaan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Brazil susulan pertukaran enjin jentera mereka. — Foto Fail AFP

SAO PAULO, 8 November: Dua pelumba Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc, masing-masing dikenakan penalti turun 10 petak di grid permulaan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Brazil, lapor PA Media/dpa.

Kedua-dua pelumba itu menukar enjin buat kali pertama musim ini, sekali gus menyebabkan mereka dikenakan penalti oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Dalam perkembangan berasingan, kedua-dua pelumba Ferrari itu turut mengadakan perbincangan dengan ketua pasukan Fred Vasseur pada Khamis bagi menyelesaikan pertikaian susulan tindakan Leclerc memintas Hamilton pada pusingan pertama GP Mexico.

Hamilton mempersoalkan sikap Leclerc dan menegaskan bahawa beliau tidak akan berdiam diri di Ferrari ketika tiba di Brazil.

Bagaimanapun, Vasseur dan Leclerc berkata isu berkenaan telah diselesaikan selepas perbincangan itu.

Pertikaian antara kedua-dua pelumba di litar itu membuka peluang kepada Max Verstappen untuk memenangi perlumbaan hujung minggu lalu.

Pelumba Belanda itu kini melonjak ke tangga kedua kedudukan keseluruhan selepas memenangi tiga daripada empat perlumbaan terakhir, namun akan memulakan perlumbaan pada hari ini dari petak paling belakang susulan penggunaan beberapa komponen enjin baharu.

Situasi itu bukan sesuatu yang asing bagi Verstappen kerana beliau turut memulakan perlumbaan dari bahagian belakang grid di litar berkenaan, dua tahun sebelumnya.

Pada 2024, beliau mencipta kemenangan luar biasa apabila berjaya mengatasi pelumba lain untuk muncul juara selepas bermula di petak ke-17 dalam keadaan litar basah.

Hujan turun ketika sesi latihan terakhir bermula pada Sabtu, manakala hujan diramalkan berterusan sepanjang hujung minggu, sekali gus meningkatkan kemungkinan sesi kelayakan dan perlumbaan berlangsung dalam keadaan litar basah.

Pelumba Mercedes, Kimi Antonelli, sudah pun mengesahkan kejuaraan dunia, namun Ferrari masih berpeluang merebut kejuaraan pengeluar walaupun ketinggalan di belakang pasukan Mercedes yang dikenali sebagai Silver Arrows.

Sementara itu, Formula Satu mengumumkan lanjutan kontrak selama lima tahun bagi GP Sao Paulo menjelang sesi kelayakan, sekali gus mengesahkan perlumbaan itu kekal dalam kalendar F1 sehingga 2035.- Bernama-PA Media/dpa