PETALING JAYA, 5 November: Sarawak sedang mempertimbangkan dasar pembangunan bandar jangka panjang hingga 2050 untuk memandu perancangan petempatan negeri itu serta memastikan pembangunan yang seimbang merentasi bandar-bandar utama, pekan kecil dan kawasan luar bandar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata cadangan Dasar Pembangunan Bandar Sarawak 2050 akan menyediakan hala tuju jangka panjang bagi sistem petempatan dan bandar negeri itu, dengan mengambil kira keluasan geografi serta kepelbagaian masyarakatnya.
Beliau berkata dasar tersebut perlu dihubungkan dengan pelan berkanun, keputusan pembangunan, program infrastruktur dan mekanisme penyampaian yang bertanggungjawab, bagi memastikan perancangan strategik dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030, kami berhasrat untuk memajukan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sebagai objektif yang saling memperkukuh antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama penutup bertajuk “Leadership for Better Cities: Our Shared Responsibility” pada Kongres Perancangan Kebangsaan ke-11 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak mengiktiraf kepentingan membangunkan sistem petempatan yang kukuh, yang menghubungkan pusat-pusat bandar dengan wilayah di sekitarnya.
“Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan bandar-bandar lain yang sedang berkembang harus memainkan peranan yang saling melengkapi dalam menyediakan perkhidmatan, peluang pekerjaan serta ekonomi,” katanya.
Beliau berkata perancangan pembangunan juga perlu mengambil kira keperluan berbeza bagi bandar-bandar kecil, petempatan di sepanjang sungai, masyarakat luar bandar serta kawasan pedalaman.
Abang Johari berkata negeri itu tidak seharusnya mengharapkan setiap petempatan berkembang menjadi kota metropolitan, sebaliknya memastikan setiap kawasan mempunyai akses kepada perkhidmatan bersesuaian, kemudahan perhubungan dan peluang ekonomi.
Beliau berkata pelan strategik perlu menjadi panduan bagi penggunaan tanah, pengangkutan, perumahan, kemudahan awam dan perlindungan alam sekitar secara bersepadu, dengan menetapkan hasil yang jelas, agensi yang bertanggungjawab serta sumber yang diperlukan bagi pelaksanaannya.
“Kami tidak mendakwa telah menyelesaikan setiap cabaran… namun kami percaya bahawa hala tuju dasar yang konsisten, kerjasama antara institusi dan komitmen terhadap hasil yang boleh diukur menjadi asas kepada kemajuan,” katanya.
Abang Johari berkata ukuran utama kejayaan pembangunan ialah dari segi manfaat yang dinikmati rakyat, termasuk perjalanan ke tempat kerja yang lebih singkat, kediaman lebih baik, perkhidmatan awam lebih cekap, kawasan kejiranan lebih selamat serta kos perbelanjaan isi rumah yang lebih berpatutan. – Bernama



