KUCHING: Sarawak berjaya menarik pelaburan bagi projek pembuatan bernilai RM23.17 bilion untuk 2020 dan 2021, sekali gus menjadikan Bumi Kenyalang antara destinasi utama pelaburan di negara ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia dicapai di sebalik hambatan pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Oleh sebab itu, kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif, bantuan kewangan dan bukan kewangan untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19 seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga 9.0.
“BKSS itu bernilai RM6.7 bilion untuk menyokong sistem penjagaan kesihatan kita, kumpulan mudah terjejas, perusahaan kecil sederhana (PKS) dan lain-lain.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Sarawak 2022 (EOYS) di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Awang Tengah berkata, PKS adalah tulang belakang ekonomi negara merangkumi 97 peratus daripada jumlah pertumbuhan ekonomi.
Beliau turut meminta sektor swasta untuk memainkan peranan yang sesuai bagimembantu merealisasikan visi Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Majlis itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
NUR AIN OTSMAN