KUCHING: Sarawak tidak perlu menunggu sehingga tingkatan lima untuk pelajar menduduki peperiksaan, dan sebab itu ujian Penilaian Standard bagi murid tahun enam bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata kerajaan Sarawak tetap dengan pendirian meneruskan peperiksaan itu tahun depan.
“Peperiksaan itu akan memberi tumpuan kepada tiga subjek utama iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Meskipun penilaian standard itu agak berbeza dengan dasar persekutuan, ia merupakan inisiatif signifikan bagi menilai tahap pendidikan pelajar secara awal.
”Jika kita menunggu sehingga mereka (pelajar) tingkatan lima untuk menduduki peperiksaan, ia agak terlambat untuk menilai tahap pendidikan mereka. Tanpa ujian, sukar untuk kita menilai tahap pendidikan anak-anak.
”Sejajar dengan matlamat kita untuk mencapai sasaran 60 peratus kemasukan pelajar sekolah dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjelang 2030, pendekatan ini akan membantu kita termasuk ibu bapa untuk menentukan bidang yang bersesuaian dengan anak-anak pada masa hadapan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan (iCERI) 2024 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada 1 November 2023, kerajaan Sarawak bercadang merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di semua sekolah kerajaan di negeri ini setelah Kerajaan Pusat enggan mengembalikan UPSR.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Roland Sagah mengumumkan bahawa Sarawak akan melaksanakan Penilaian Standard Program Dwi Bahasa (DLP) membabitkan murid Tahun Enam mulai tahun depan. Kohort pertama DLP Sarawak yang dimulakan pada 2020 akan memasuki Tahun Enam pada 2025, sekali gus menjadi kumpulan pertama menjalani penilaian standard.
Menjelas lanjut hari ini, Roland Sagah berkata Penilaian Standard itu akan dikendalikan oleh satu jawatankuasa khas yang merangkumi pihak kementeriannya, Universiti Swinburne, Cambridge University di bawah Cambridge Press and Assessment (CUPA) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
”Mereka (jawatankuasa khas) ini yang akan merangka dan mencadangkan strategi pelaksanaan penilaian berdasarkan piawaian antarabangsa.
”Selain itu, mereka juga akan menyediakan soalan peperiksaan yang disesuaikan dengan format peperiksaan di Malaysia serta penilaian kendiri yang sedang digunakan di sekolah,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA