
BINTULU: Sarawak mempergiat usaha meneroka teknologi tenaga baharu menerusi penyelidikan panel solar berkapasiti tinggi dan pembangunan industri semikonduktor hijau sebagai sebahagian daripada agenda ekonomi masa depan negeri itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengkaji kemungkinan menghasilkan panel solar yang mampu menjana tenaga sehingga 12 jam tanpa memerlukan sokongan sistem penyimpanan bateri.
Menurutnya, teknologi solar sedia ada ketika ini lazimnya hanya mampu menjana tenaga sekitar empat jam sebelum perlu disokong oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Berasaskan Bateri (BESS).
“Kita mahu melihat sama ada terdapat teknologi baharu yang boleh meningkatkan kapasiti penyimpanan tenaga supaya panel solar dapat bertahan lebih lama tanpa bergantung kepada bateri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, penyelidikan itu melibatkan kajian terhadap sifat bahan silika, silikon dan logam tertentu yang berpotensi meningkatkan kecekapan penyimpanan tenaga.
Menurutnya, penerokaan teknologi itu selari dengan pendekatan Sarawak yang memberi penekanan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen, biojisim dan solar.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bintulu dijangka terus berkembang sebagai pusat industri teknologi hijau susulan peluasan sebuah loji di Samalaju yang akan menghasilkan semikonduktor polisilikon bagi kegunaan teknologi tenaga angkasa lepas.
Katanya, projek itu dijangka memerlukan kira-kira 1,000 jurutera dan bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak Sarawak.
Abang Johari berkata, pembangunan industri semikonduktor berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan Bintulu sebagai kluster industri rendah karbon yang diiktiraf Forum Ekonomi Dunia (WEF).
“Ini adalah hala tuju ekonomi baharu Sarawak yang berasaskan teknologi, data dan tenaga hijau,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih