
BINTULU: Kampung Nyalau di sini bakal dibangunkan sebagai bandar baharu menerusi pelan induk yang dirangka kerajaan Sarawak bagi menyokong pertumbuhan pesat kawasan industri Samalaju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu melibatkan pembesaran kawasan Kampung Nyalau dengan penyediaan pelbagai kemudahan moden termasuk perumahan, kawasan komersial, pejabat dan infrastruktur sokongan.
Namun katanya, pembangunan itu tidak akan menjejaskan komuniti asal di kawasan berkenaan, malah penduduk setempat turut bakal menikmati limpahan manfaat ekonomi daripada pembangunan baharu tersebut.
“Mereka akan diberikan kemudahan dan kawasan ini akan menjadi sistem sokongan sosial kepada pelabur-pelabur yang datang ke Samalaju.
“Ini bermaksud Bintulu akan berkembang sebagai kawasan penempatan pinggir bandar,” katanya kepada pihak media semasa sidang media selepas perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan itu turut mengambil kira kewujudan tiga kampung di kawasan Nyalau menerusi perancangan tersusun supaya komuniti sedia ada terus kekal di kawasan tersebut.
Menurutnya, pembangunan kawasan Jepak hingga ke Tatau juga sedang dirancang sebagai kawasan pertumbuhan baharu susulan kepadatan pembangunan di bandar Bintulu serta peningkatan harga rumah.
Beliau memberitahu, kerajaan Sarawak turut meneliti pembangunan sistem sokongan bandar di Samalaju termasuk cadangan pembinaan rel kereta api antara Bintulu, Kidurong dan Samalaju bagi mengurangkan beban pengangkutan berat di jalan raya.
Oleh Carolyne Utih