KUALA LUMPUR: Kempen ‘Discover Borneo: Malaysia’s Choice Destination’ yang dilancarkan di MATTA Fair 2024 di sini bertujuan untuk mempromosikan Borneo sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kempen hasil kerjasama antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) itu merupakan penghormatan kepada kekayaan budaya Borneo, keindahan landskapnya, dan kepelbagaian biologi yang luar biasa.
“Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia, menyajikan syurga eksotik dengan hutan hujan purba bertemu dengan pantai yang bersih, dan gunung-gunung yang megah mengatasi terumbu karang berwarna-warni.
“Borneo bukan hanya Sarawak dan Sabah, ia juga merupakan nama yang terkenal di seluruh dunia, mengundang rasa misteri dan daya tarikan.
“Sekarang adalah masa yang tepat untuk menjadikan Borneo sebagai destinasi yang memikat dengan pesona mistiknya dan pengembaraan tiada batas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen itu yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Abdul Karim menjelaskan bahawa kerjasama itu bertujuan untuk membentuk kempen pemasaran yang dinamik, memaparkan kedua-dua negeri sebagai destinasi pelancongan menarik.
“Sektor pelancongan di Borneo telah menunjukkan perkembangan pesat dan permintaan yang tinggi, dan dengan usaha bersama, kita dapat memperkuatkan impak positif terhadap ekonomi tempatan,” katanya.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew dan Presiden MATTA, Nigel Wong.
Dalam pada itu, pengunjung yang menghadiri MATTA Fair yang bermula semalam hingga esok berpeluang menjelajah pelbagai pakej pelancongan ke Sarawak.
Antaranya pakej pelancongan tersebut ialah lawatan sehari ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Gua Niah, serta lawatan beberapa hari seperti lawatan ke Miri dan Niah atau lawatan Miri, Niah, dan Ladang Buaya.
Gambar
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memukul gong sebagai simbolik perasmian kerjasama Sabah dan Sarawak di Matta Fair 2024 Kuala Lumpur, hari ini.