
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan apabila menyediakan peluang pendidikan tinggi secara percuma kepada anak negeri menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang melibatkan 64 bidang pengajian terpilih di empat universiti milik kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan lebih ramai anak negeri mendapat akses kepada pendidikan tinggi tanpa dibebani kos pengajian.
Beliau berkata kemudahan tersebut membuka ruang lebih luas kepada golongan muda Sarawak untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang selari dengan keperluan industri dan pasaran pekerjaan semasa.
“Kerajaan Sarawak amat serius dalam usaha memperkasakan modal insan berkualiti sebagai pemacu pembangunan negeri pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sebuyau yang berlangsung di Dewan Kampung Sungai Rama, dekat sini, semalam.
Menurut Harden, pelaksanaan FTES merupakan antara langkah strategik kerajaan Sarawak dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Dalam majlis sama, beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada SUPP Cawangan Sebuyau atas inisiatif menganjurkan program yang berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum sempena penutupan sambutan Gawai Dayak 2026.
Katanya, penganjuran majlis berkenaan memperlihatkan semangat perpaduan dan keterangkuman masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dalam memelihara warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti SUPP Cawangan Sebuyau untuk mendekati masyarakat setempat serta meraikan berakhirnya musim perayaan Gawai Dayak tahun ini.
Pelbagai aktiviti kebudayaan dan rekreasi turut diadakan termasuk tarian ngajat ngalu pengabang, pertandingan nganyam ketupat, pertandingan poco-poco, menebar jala, boling kelapa dan meniup belon.
Pada majlis itu, Harden turut bersetuju meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 bagi pembelian kelengkapan Dewan Kampung Sungai Rama.
Beliau juga meluluskan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada Biro Wanita Kampung Sungai Rama, dengan penyaluran dana dibuat melalui SUPP Cawangan Sebuyau.
Sementara itu, Kaunselor Ar Law Kim Chui selaku Pengerusi SUPP Cawangan Sebuyau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Harden atas kesudian menghadiri majlis berkenaan sebagai tetamu kehormat.
Kemuncak program menyaksikan upacara simbolik Ngiling Tikai Gawai Dayak yang diketuai oleh Harden bersama tetamu jemputan lain serta disertai penduduk dari lapan kampung dan rumah panjang sekitar kawasan Sebuyau.
Oleh Adi Safarman