Sarawak perkukuh usaha lindungi sumber perikanan melalui penempatan tukun bebola tiruan

Facebook
WhatsApp
DATUK Majang Renggi bersama wakil agensi dan rakan strategik merakam gambar kenangan pada Program Penurunan Tukun Bebola Tiruan di Perairan Kuala Nyalau-Samalaju, Bintulu.

BINTULU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha melindungi sumber perikanan dan memulihkan ekosistem marin menerusi penempatan 80 unit tukun bebola tiruan di perairan Kuala Nyalau-Samalaju.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memulihkan habitat marin, meningkatkan populasi ikan serta mengurangkan pencerobohan bot pukat tunda yang menjejaskan kawasan perikanan tradisional.

DATUK Majang Renggi mendengar taklimat mengenai pelaksanaan projek tukun bebola tiruan sempena Program Penurunan Tukun Bebola Tiruan di Perairan Kuala Nyalau-Samalaju.

Menurutnya, usaha berkenaan turut memberi manfaat kepada komuniti nelayan di Kuala Nyalau yang majoritinya bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan.

“Program ini akan memberi banyak manfaat, terutamanya dalam usaha memulihkan ekosistem marin.

“Ini sudah tentu akan menguntungkan para nelayan di kawasan ini, khususnya penduduk Kampung Nyalau kerana lebih 50 peratus daripada mereka bergantung kepada aktiviti menangkap ikan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penurunan Tukun Bebola Tiruan di Perairan Kuala Nyalau-Samalaju di sini, hari ini.

Datuk Majang memberitahu, kewujudan tukun bebola itu juga dijangka membantu memulihkan kawasan terumbu karang yang menjadi habitat pembiakan hidupan marin sekali gus menjamin kelestarian sumber perikanan untuk jangka panjang.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan, syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekali gus membolehkan lebih banyak inisiatif pemuliharaan habitat marin diperluas di seluruh Sarawak.

DATUK Majang Renggi meninjau struktur tukun bebola tiruan sambil mendengar penerangan mengenai fungsinya dalam memulihkan habitat marin di Kuala Nyalau-Samalaju.

“Pendekatan kolaboratif ini membolehkan usaha pemuliharaan terumbu karang dan habitat marin diperluaskan di seluruh Sarawak,” katanya.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Dato Ruslan Abdul Ghani.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan kerjasama Pembinaan Tukun Bebola (Sarawak) Sdn. Bhd. (PTBSB), SFC dan BPHB.

Sejak 2022, PTBSB telah menyumbang sebanyak 467 unit tukun bebola di beberapa lokasi di Sarawak.

Difahamkan, projek di Kuala Nyalau pula merupakan sebahagian daripada sasaran jangka panjang penempatan 5,000 unit tukun bebola di seluruh negeri.

Oleh Carolyne Utih