Sarawak perkukuh ekonomi hijau, ubah pendekatan pengurusan sisa

Facebook
WhatsApp
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berucap semasa merasmikan Program InnoWaste 2025 di sebuah hotel terkemuka, hari ni. Foto Adele Rissa 

KUCHING: Sarawak kini beralih daripada melihat sisa sebagai satu beban kepada menjadikannya sebagai sumber ekonomi baharu menerusi pelaksanaan inovasi dan ekonomi kitaran yang mampan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

“Sisa bukan lagi beban, tetapi peluang. Daripada bahan buangan, kita boleh hasilkan tenaga, baja dan membuka peluang pekerjaan serta industri baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program InnoWaste 2025 bertemakan ‘Membayangkan Semula Sisa ke Arah Sarawak Lestari’ (Reimagining Waste for a Sustainable Sarawak) di sebuah hotel terkemuka, hari ini.

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian melawat ruang pameran sempena Program InnoWaste 2025, hari ini. Foto Adele Rissa

Dr Sim menegaskan bahawa pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan komitmen Sarawak untuk mencapai ekonomi hijau serta status neutral karbon menjelang 2050.

Beliau turut menekankan kepentingan membentuk tabiat lestari dalam kalangan generasi muda agar mereka menjadi peneraju utama kepada inovasi hijau pada masa hadapan.

“Apabila sisa berjaya dialihkan daripada tapak pelupusan, ia bermaksud kita menjimatkan sumber, memperbaiki kualiti udara dan mengurangkan pencemaran air,” tambahnya.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mengingatkan bahawa perubahan iklim bukan sekadar isu global, tetapi kini turut memberi kesan kepada Sarawak melalui corak cuaca yang tidak menentu dan kejadian banjir di luar musim.

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian merakam kenangan bersama peserta Program InnoWaste 2025, hari ini. Foto Adele Rissa 

“Kita tidak boleh menunggu negara lain menentukan tindakan kita. Sarawak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menjaga alam sekitar dan masa depan rakyatnya,” tegasnya.

Program InnoWaste 2025, yang diadakan bersempena Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak, menampilkan pelbagai pameran, demonstrasi pengurangan sisa makanan, pameran ciptaan kreatif pelajar serta sesi ceramah berkaitan pengurusan sisa pepejal, air sisa dan teknologi lestari.

Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) bagi menggalakkan perkongsian idea serta kerjasama rentas sektor ke arah membina bandar yang lebih bersih, pintar dan mampan.

Oleh Adele Rissa