PETRA JAYA: Sarawak memperkenalkan inisiatif inovatif melalui program Community Integrity Building (CIB) yang melibatkan komuniti secara langsung sebagai pemantau pelaksanaan projek-projek di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Langkah ini, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, dilihat mampu meningkatkan keberkesanan dan kualiti pembangunan tempatan.
“Selama ini, ramai yang beranggapan tugas memantau semua projek adalah tanggungjawab penuh PBT.
“Tetapi dengan kawasan liputan yang terlalu luas dan kekangan sumber manusia, peranan aktif komuniti sangat penting untuk memastikan kontraktor melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Taklimat Pembangunan Integriti Bersama Komuniti di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tegasnya, program ini bukan sahaja mengubah persepsi masyarakat tetapi turut memperkasa peranan mereka dalam memastikan keberkesanan pengurusan pembangunan.
Program CIB, jelasnya lagi, adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh Sarawak untuk mencapai pengurusan kewangan yang berhemah serta menyediakan perkhidmatan awam bertaraf tinggi.
Beliau mengingatkan semua agensi supaya memastikan bajet dan pengurusan kewangan dirancang secara realistik bagi mengelakkan belanjawan defisit.
“Kita tidak mahu bajet dibuat sekadar mencuba nasib. Sebaliknya, ia perlu berdasarkan keperluan sebenar dan kemampuan untuk melaksanakannya,” tegasnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Rahman Mohd Din, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman serta tetamu jemputan lain.
Oleh Noor Ikmal