SIBU: Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kualiti dan pencapaian dalam pendidikan telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.
“Segala inisiatif dan bantuan yang telah kerajaan Sarawak laksanakan terutamanya visi YAB Premier (Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk memperkasakan aspek pendidikan di Sarawak termasuk pendidikan percuma di peringkat Ijazah pertama kepada anak-anak Sarawak yang belajar di universiti milik Sarawak menjelang 2026.
“Kita beruntung kerana Kerajaan khususnya kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier yang sentiasa memberi keutamaan untuk membangun dan menjayakan aspek pendidikan ini khas di kalangan anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Kemenjadian Murid & Graduasi Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Sabena Sesi 2024, semalam.
Katanya, penganjuran majlis ini penting sebagai penghargaan dan motivasi kepada anak-anak supaya mencapai lebih kejayaan pada masa hadapan.
“Saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kapada para guru di atas komitmen dan dedikasi mendidik anak murid khususnya di luar bandar ini” , katanya.
Beliau menyarankan bubapa supaya terus memberi sokongan dan kerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan kejayaan anak-anak dalam pelajaran mereka.