Sarawak kekal negeri negatif karbon – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari menyifatkan Sarawak sebagai ‘jiwa Borneo’ dan ‘jiwa alam’ menerusi komitmen negeri terhadap kelestarian alam sekitar serta status negatif karbon ketika berucap pada PATA Travel Mart 2026 di Hotel VOCO Kuching, hari ini.

KUCHING: Sarawak mengekalkan kedudukannya sebagai negeri negatif karbon dengan keupayaan alam semula jadinya untuk menyerap lebih banyak karbon berbanding jumlah pelepasan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kekuatan hutan dan sumber semula jadi Sarawak menjadikan negeri itu antara penyumbang penting kepada kelestarian alam sekitar ketika dunia berdepan peningkatan suhu global, gelombang haba dan pelepasan karbon.

“Sebab itulah kita adalah jiwa Borneo! Kita adalah jiwa alam semula jadi,” katanya ketika berucap pada majlis sempena sambutan ulang tahun ke-75 Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dan PATA Travel Mart ke-49 di Kuching, hari ini.

Menurut Abang Johari, keupayaan Sarawak mengekalkan kelestarian alam sekitar bukan sekadar memberi manfaat kepada landskap semula jadi, malah turut menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Katanya, pendekatan berasaskan kelestarian alam kini menjadi antara asas penting dalam pembentukan dasar sosial dan ekonomi Sarawak.

Beliau berkata, kira-kira 62 peratus kawasan Sarawak masih diliputi hutan, sekali gus menjadikan pemeliharaan alam semula jadi sebagai komponen penting dalam pembangunan negeri.

ABANG Johari ketika menyampaikan anugerah Top 25 Award kepada salah seorang pemenang kategori Top International Restaurant, Ceylonese Restaurant, pada PATA Travel Mart 2026 di Hotel VOCO Kuching, hari ini.

Dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian itu, katanya, Sarawak turut memberi penekanan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga hidro, solar dan biojisim.

“Dasar ekonomi kita sekarang adalah menuju kepada pemeliharaan alam,” katanya.

Abang Johari berkata, pendekatan tersebut turut mencerminkan identiti masyarakat Sarawak yang hidup dalam keharmonian bukan sahaja antara pelbagai kaum dan etnik, tetapi juga dengan alam semula jadi.

Katanya, hubungan erat antara manusia dengan alam turut diterjemahkan menerusi budaya dan kehidupan masyarakat Sarawak, sekali gus menjadi aset penting dalam sektor pelancongan negeri.

Beliau berkata, kekayaan alam dan budaya itu turut mendapat pengiktirafan UNESCO menerusi pelbagai inisiatif dan pengiktirafan, antaranya Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah, Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO dan Kuching Delta Geopark.

“Ini yang kita mahu kongsikan dengan dunia, iaitu jiwa Borneo,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi