(Kemaskini)
KUCHING: Sichuan Chuannan Rail Transit Operation Co Ltd bakal memperkenalkan kenderaan Transit Aliran Automasi (ART) berkuasa hidrogen setelah mendapat ilham dari Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Perkara ini didedahkan oleh pengendali kenderaan ART terbesar di dunia di bandar Yibin itu kepada pihak Sarawak Metro Sdn Bhd yang mengadakan lawatan ke China baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd, Mazli Mustaffa berkata, adalah satu perkara mengagumkan apabila melihat usaha Sarawak mengguna pakai teknologi hidrogen mendapat perhatian serantau, malah diterima pakai dengan baik.
“Ia benar-benar memberi inspirasi apabila melihat bahawa usaha Sarawak mengguna pakai teknologi hidrogen telah menggalakkan orang lain untuk berbuat perkara serupa kerana kami secara kolektif mencari penyelesaian untuk menyahkarbonkan pengangkutan,” kata Mazli menerusi kenyataan semalam.
Menurutnya, 60 kenderaan ART Operasi Rel Sichuan Chuannan kini melayani kira-kira 50,000 penumpang sehari dan ini dijangka meningkat kepada 100,000 setiap hari apabila ia melengkapkan barisan terbaharunya.
Sehubungan itu Mazli berkata, dengan Yibin menambah sekurang-kurangnya lima kenderaan ART berkuasa hidrogen baharu kepada kumpulan kenderaan sifar pelepasannya, ia menunjukkan lagi potensi global hidrogen sebagai sumber tenaga yang bersih dan cekap untuk pengangkutan awam.
Selain perkembangan terbaharu di wilayah Sichuan ini, bandar Lingang di tenggara Shanghai juga mempunyai kenderaan Transit Aliran Digital (DRT) berkuasa hidrogen, yang hampir sama dengan kenderaan ART, seperti digunakan di Yibin.
Di peringkat serantau, inisiatif sama turut dilaksanakan di Korea Selatan iaitu di bandar Daejeon yang sedang memajukan projek rel ringan hidrogen baharunya, dengan pengenalan trem berkuasa hidrogen pertamanya.
Selain itu, Hyundai telah komited untuk membekalkan 1,000 unit bas hidrogen untuk pengangkutan awam menjelang 2027.
Melihatkan kesemua usaha ini, Mazli berkata ia mencerminkan komitmen antarabangsa yang semakin meningkat terhadap teknologi hidrogen dalam pengangkutan awam.
Mazli juga menegaskan bahawa ketika teknologi hidrogen terus berkembang dan mendapat daya tarikan, Metro Sarawak kekal fokus dalam misinya untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam selamat, boleh dipercayai, selesa dan mudah.
Pihaknya juga akan terus mengetuai usaha untuk menyahkarbonkan sektor pengangkutan awam, selaras dengan matlamat alam sekitar dan ekonomi Sarawak.
awam bandar yang mampan sambil menangani cabaran iklim pada zaman kita,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN