Wanita 20-an ditahan, disyaki jadi keldai akaun penipuan pekerjaan

Facebook
WhatsApp
SUSPEK ditangkap oleh pihak polis pada semalam. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan selepas disyaki menjadi keldai akaun dalam kes penipuan pekerjaan yang menyebabkan mangsa kerugian RM1,131.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan sepasukan polis kira-kira 9.30 pagi, semalam.

“Semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong telah menangkap seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan dengan modus operandi penipuan pekerjaan, dengan peranan sebagai keldai akaun.

“Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan kerja sambilan di media sosial Instagram sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan di Telegram.

“Mangsa diberi tugasan untuk memberikan tanda ‘Like’ dan ‘Rating’ terhadap barangan kosmetik dan perhiasan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, mangsa seterusnya diminta membuat transaksi wang sebelum melaksanakan tugasan berkenaan, selain dijanjikan komisen lumayan.

“Sebelum melakukan tugasan, mangsa perlu membuat transaksi sebanyak RM1,131.

“Mangsa juga dijanjikan komisen yang lumayan.

“Jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan adalah sebanyak RM1,131,” katanya.

Dalam pada itu, Tansli berkata, suspek turut dikesan mempunyai kaitan dengan laporan polis di beberapa daerah lain.

“Suspek dikesan terlibat dalam laporan polis di daerah Kota Bharu, Melaka Tengah dan Ipoh.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan dengan pihak yang tidak dikenali.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis atau mana-mana agensi berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan kepada pihak ketiga,” tegasnya.

Tambahnya, mangsa penipuan dalam talian juga boleh menghubungi talian hotline Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 bagi melaporkan kejadian atau menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.

Oleh Earl Anek