KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd perlu segera menghentikan kerja pembinaan pada waktu malam di kawasan perumahan dan mematuhi sepenuhnya waktu kerja yang telah dipersetujui bersama penduduk, kata Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Kuching, George Lam.
Beliau berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk Taman Stutong Indah berhubung kerja pembinaan yang dijalankan kontraktor Sarawak Metro sehingga 9.00 malam semalam, menyebabkan bunyi bising dan mengganggu waktu rehat penduduk.
Katanya, kerja berkenaan dilihat bercanggah dengan komitmen yang dibuat Sarawak Metro dalam sesi dialog bersama penduduk pada 29 Ogos 2025, apabila dipersetujui bahawa kerja pembinaan hanya dijalankan dari Isnin hingga Sabtu, antara 7.00 pagi hingga 6.00 petang, tidak termasuk cuti umum.
“Permintaan supaya kerja pembinaan pada waktu malam dihentikan bukanlah sesuatu yang dibuat penduduk sesuka hati. Ia merupakan komitmen yang dibuat sendiri oleh Sarawak Metro dalam sesi dialog tersebut.
“Penduduk telah meluangkan masa untuk hadir, menyuarakan kebimbangan dan mencapai persefahaman dengan niat baik. Mereka berhak mendapat lebih daripada sekadar janji, sebaliknya berhak melihat komitmen tersebut dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lam berkata, penduduk selama ini banyak bertolak ansur dengan kesulitan yang timbul akibat projek infrastruktur besar itu kerana memahami kepentingan pembangunan sistem pengangkutan awam di Kuching.
“Namun, menyokong pembangunan tidak bermakna penduduk perlu menerima gangguan tanpa had, lebih-lebih lagi apabila waktu kerja yang jelas telah dipersetujui sebelum ini.
“Projek infrastruktur besar mungkin tidak dapat dielakkan daripada menyebabkan sedikit bunyi bising dan kesulitan, tetapi hak penduduk tidak seharusnya ditenggelamkan oleh bunyi kerja pembinaan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan peranan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam memantau kerja berkenaan, khususnya kerana sesi dialog pada 29 Ogos 2025 itu dipengerusikan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.
“Adakah MBKS telah memantau kerja pembinaan ini dengan sewajarnya? Jika kontraktor telah melanggar waktu kerja yang dipersetujui, mengapa tindakan penguatkuasaan tidak diambil?
“Oleh kerana Datuk Bandar sendiri mempengerusikan sesi dialog tersebut, perkara ini tidak sepatutnya berakhir selepas mesyuarat. Penduduk bersetuju projek diteruskan dengan kefahaman bahawa kebimbangan mereka akan ditangani dan pihak berkuasa berkaitan akan memainkan peranan dalam memantau kerja tersebut,” katanya.
Lam menegaskan peranan Datuk Bandar tidak seharusnya terhad kepada mempengerusikan sesi dialog dan mendengar aduan penduduk.
Sekiranya pihak majlis terlibat dalam menyelaras dan memantau kerja berkenaan, katanya, tanggungjawabnya juga adalah memastikan syarat yang dipersetujui dihormati dan dikuatkuasakan.
“Jika kontraktor dibenarkan mengabaikan waktu kerja yang telah dipersetujui tanpa sebarang tindakan, penduduk sememangnya akan mempersoalkan sama ada sesi dialog seperti ini mempunyai sebarang susulan yang bermakna,” katanya.
Lam menggesa Sarawak Metro mengarahkan semua kontraktor yang menjalankan kerja di kawasan perumahan supaya segera menghentikan kerja pada waktu malam serta mengkaji semula mekanisme pemantauan bagi memastikan semua kontraktor mematuhi waktu kerja yang telah dipersetujui.
Beliau turut meminta Sarawak Metro menjawab persoalan sama ada komitmen yang dibuat kepada penduduk pada 29 Ogos 2025 masih terpakai.
Oleh Connie Chieng



