ABU DHABI: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) memeterai Perjanjian Kajian Bersama Trilateral Malaysia dengan Abu Dhabi Future Energy Company (PSJC) Masdar dan syarikat tenaga bersih, Gentari untuk meneroka potensi bagi melaksanakan projek solar terapung di Empangan Murum.
Di bawah kolaborasi strategik itu, ketiga-tiga pihak akan melakukan kajian bersama selama 12 bulan bagi membangunkan projek tersebut dengan sasaran penjanaan tenaga solar hingga 1 gigawatt (GW).
Pemeteraian perjanjian itu diadakan di Bandar Masdar, Abu Dhabi pada Selasa.
SEB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Sharbini Suhaili, manakala Masdar dan Gentari masing-masing diwakili CEO syarikat, Mohamed Jameel Al Ramahi dan Sushil Purohit.
Ia turut disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi SEB Datuk Ibrahim Baki.
Bercakap dalam sidang media, Abang Johari memberitahu, projek mega tersebut dijangka akan menambahkan lagi pengeluaran tenaga boleh diperbaharui kepada Sarawak.
“Ini adalah satu pelaburan yang agak tinggi dan dapat menambahkan lagi pengeluaran tenaga boleh diperbaharui kepada Sarawak.
“Bukan itu saja, kemungkinan kerjasama ini dapat membolehkan kita melihat projek-projek lain yang boleh kita bangunkan di Sarawak melalui kerjasama ekonomi di antara Abu Dhabi dan Sarawak,” katanya.
Premier Sarawak menambah, jika projek tersebut berjaya, ia akan menjadi kawasan pertama di dunia yang mengeluarkan hingga 1GW tenaga daripada solar terapung.
Jelas beliau, selari dengan pembangunan tenaga hijau Sarawak, projek itu akan merealisasikan sasaran Sarawak untuk mengeluarkan 10GW tenaga pada 2030.
“Kalau ini berlaku, bermaknanya kita boleh menjanakan tenaga ini yang boleh kita kongsikan kepada rakan jiran kita. Bermakna satu ‘interconnection exercise’ yang akan menjurus kepada Asian Grid.
“Apa yang kita lihat di Abu Dhabi ini dengan rakan kongsi kita, kemungkinan besar kita boleh laksanakan lebih dari apa yang kita rancangkan,” katanya.
Terdahulu, Premier Sarawak bersama delegasi kerajaan Sarawak dibawa melawat Bandar Masdar, bandar bebas karbon dan hab teknologi terkemuka di Abu Dhabi.
Turut serta ialah Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros), Tan Sri Hamid Bugo; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri. – EDISI UKAS