KUCHING: Sarawak mahu syarikat penerbangan meningkatkan penerbangan domestik dan antarabangsa bagi memacu industri pelancongan termasuk perniagaan di negeri ini.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata bagi tujuan itu kementeriannya bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan.
Ini termasuk Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan mengadakan hubungan rapat dengan syarikat penerbangan.
“Ini kerana kita mahu meningkatkan penerbangan domestik dan antarabangsa bagi memacu industri pelancongan termasuk perniagaan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, Lee juga menasihatkan semua pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman pada musim cuti Tahun Baharu Cina ini untuk memandu dengan selamat.
Katanya, mereka harus sentiasa berwaspada terutamanya pada musim cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.
“Tahun ini, pihak kementerian saya bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak akan terus menerapkan amalan keselamatan jalan raya yang baik.
“Keselamatan jalan raya adalah usaha bersama dan marilah kita bekerjasama menyediakan keselamatan jalan raya yang lebih selamat sekali gus menjadi pengguna yang beradab dan semoga semua selamat sampai ke destinasi,” katanya.
Q