KUCHING: Sebanyak 42 permohonan Sarawak Youth Creative Industry Fund (SYCIF) telah diluluskan dari 2019 hingga 2021 bagi membantu para belia dalam pengelolaan program berasaskan kesenian dan kebudayaan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sejumlah RM1, 332, 133.65 juta telah diluluskan oleh kementeriannya untuk para belia di negeri ini.
“Dana ini bertujuan bagi membantu para belia agar lebih kreatif dan inovatif (khas untuk seni muzik, filem, drama, teater dan inovasi),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembanguunan Belia dan Sukan Sarawak 2021 di sebuah hotel terkemuka, semalam.
Tambahnya, dana ini telah diluluskan dengan kos peruntukan RM5 juta di bawah Projek Rakyat (2019).
“RM4 juta diumum oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan jumlah keseluruhan dana RM9 juta,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua belia mengambil peluang ini untuk memohon peruntukan SYCIF bagi mengembangkan bakat mereka.
“Dana ini terbuka kepada belia Sarawak dan warganegara Malaysia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun, sama ada bagi individu, berkumpulan atau persatuan dan pertubuhan.
“Ia akan membantu para belia membaiki dan menambah nilai program seterusnya memberi memberi manfaat kepada komuniti Sarawak khasnya para belia,” jelasnya.
Borang permohonan boleh diperolehi melalui laman web rasmi Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (www.myss.sarawak.gov.my)
Oleh NUR AIN OTSMAN