
KUCHING: Sarawak kini tidak lagi berada di belakang seperti dahulu, sebaliknya berada pada landasan pembangunan yang lebih kukuh hasil kestabilan politik dan kesinambungan dasar di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perubahan tersebut adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan Sarawak bergerak ke hadapan secara lebih tersusun dan berdaya tahan.
Menurutnya, Sarawak hari ini telah melalui fasa perubahan besar sejak beberapa tahun lalu, termasuk cabaran pada 2018, namun kekal stabil di bawah kepimpinan GPS dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita bukan lagi berada di belakang seperti dahulu. Kita kini berada pada landasan pembangunan yang lebih kukuh,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau berkata, fasa lima tahun akan datang merupakan tempoh paling kritikal dalam agenda membina Sarawak sebagai sebuah negeri maju, bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan menyeluruh merangkumi pendidikan, ekonomi dan kesihatan.
Dalam aspek kesihatan, beliau berkata usaha sedang dipertingkat termasuk pembangunan Pusat Kanser Sarawak yang dijangka menjadi antara pusat rawatan utama di rantau ini, selain pengukuhan peranan Hospital Umum Sarawak (HUS) sebagai pusat rawatan dan penyelidikan klinikal
Dr Sim turut menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, dasar pembangunan Sarawak dilaksanakan secara inklusif merangkumi semua kaum dan agama, termasuk sokongan kepada pelbagai aliran pendidikan seperti sekolah Cina serta bantuan kepada rumah ibadat dan komuniti.
Menurutnya, perpaduan rakyat menjadi kekuatan utama Sarawak yang menyumbang kepada kestabilan politik serta menarik minat pelaburan luar.
Beliau berkata, di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak mempunyai hala tuju jelas untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar terus memperkukuh perpaduan dan memastikan kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan melalui kestabilan politik dan sokongan berterusan terhadap agenda Sarawak.
“Masa depan Sarawak bergantung kepada perpaduan kita semua untuk memastikan negeri ini terus maju, stabil dan inklusif,” katanya.
Oleh Adele Rissa