
KUCHING: Sumber ekonomi Sarawak ketika ini berada dalam keadaan mantap, namun hanya dapat dipertahankan sekiranya wujud pentadbiran yang bersih dan ikhlas demi kepentingan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, banyak negara yang memiliki sumber ekonomi kukuh masih berdepan kemiskinan akibat kegagalan kepimpinan yang tidak berlandaskan keikhlasan.
“Sumber ekonomi kita mantap, tetapi banyak negara lain yang ada sumber ekonomi yang mantap namun mereka bermasalah, kemiskinan tinggi.
“Afrika, lihat sahaja Nigeria dan Sudan. Minyak ada, sumber ada, negeri miskin, rakyat miskin. Kenapa? Kerana tidak ada perjuangan yang ikhlas daripada pemimpin mereka.
“Kita di Sarawak ada sumber, kita memerlukan pimpinan yang bersih dengan niat untuk memberi khidmat kepada rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pendirian Sarawak untuk tidak mengeksport nadir bumi, sebaliknya mahu memproses sendiri sumber tersebut bagi meningkatkan nilai ekonomi.
Menurutnya, sumber mineral negeri perlu diurus dengan teliti bagi memastikan pulangan optimum kepada Sarawak.
“Mineral kita, hasil bumi Sarawak kita perlu jaga betul-betul.
“Apabila ada perjanjian berkaitan dengan Amerika Syarikat mengenai nadir bumi, saya telah mengeluarkan kenyataan bahawa Sarawak tidak akan mengeksport nadir bumi, sebaliknya kita akan memprosesnya sendiri,” katanya.
Tambah beliau, nadir bumi Sarawak berpotensi menghasilkan magnet berkualiti tinggi yang digunakan dalam pelbagai gajet canggih di peringkat global.
Oleh Shahrul Qaizat