KUCHING: Semua daerah di Sarawak kini berstatus hijau selepas Daerah Kuching dan Serian yang sebelum ini zon kuning tidak melaporkan kes Covid-19 jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lalu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kekal 681 kes dengan semalam tiada kes positif Covid-19 baru direkodkan di negeri.
“Dimaklumkan juga tiada kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj kekal seramai 659 orang atau 96.77 peratus.
“Seramai tiga orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital, dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.79 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.
Tambah JPBNS, sebanyak 12 orang yang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan tiada kes yang menunggu ujian makmal.
“Sementara itu, kluster yang aktif di Sarawak masih kekal 10 iaitu melibatkan seramai 70 orang.
“Iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraaan kekal lapan kes, Kluster Mambong kekal tujuh kes, Kluster Pusat Perubatan kekal tiga kes, Kluster Jupiter kekal tiga kes dan Kluster Pasar Stutong kekal tujuh kes.
“Manakala Kluster Jeti Kuching kekal dua kes, Kluster Sentosa kekal 31 kes, Kluster PUI Melbourne kekal tiga kes, Kluster Syarikat Pembinaan Kuching kekal dua kes dan Kluster Pasar Satok juga kekal empat kes,” jelasnya.
Oleh Zarina Abdullah